malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aneh kaum Cina sokong Dr M, kata pemimpin MCA
Diterbitkan:  Jan 23, 2018 1:58 PM
Dikemaskini: 6:08 AM
ADS

Sokongan kaum Cina kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah aneh memandangkan sejarah pentadbiran autokratik beliau yang diselubungi skandal, kronisme dan rasuah, kata Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA, Chris Daniel Wong.

"Adalah membingungkan mengapa masyarakat Cina bersorak gembira apabila Mahathir menyertai gabungan pakatan pembangkang," kata Wong dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kaum Cina menunjukkan penolakan terhadap Mahathir apabila memberikan kemenangan kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Pilihan Raya Umum 2004.

Wong (gambar) berkata Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun, terlibat dalam skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan mengganggu sistem kehakiman dengan memecat serta menggantung beberapa orang hakim.

Sehubungan itu Wong berkata DAP, yang pernah menunjukkan sikap anti-Mahathir, kini "memukau" orang ramai dan "mencuci Mahathirism" sebagaimana parti itu pernah menyokong PAS.

"Mahathir bukan benar-benar memperjuangkan usaha 'menyelamatkan negara', tetapi hanya untuk menawan semula kuasa dan menyambung semula peranan autoritarian beliau yang terdahulu.

"Masa depan negara tidak boleh digadaikan hanya untuk keuntungan sendiri dan hanya seorang pemimpin yang mempunyai keikhlasan untuk memimpin harus dipilih mentadbir negara," kata Wong.

Beliau berkata motivasi utama Mahathir adalah mengetuai sekumpulan bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tambahnya, mereka ini adalah kumpulan yang tidak ikhlas membawa perubahan sebenar ke Malaysia.

"Jadi sekarang masyarakat Cina harus menentukan masa depan yang mereka mahu, kerajaan BN yang stabil dan sederhana, atau Pakatan Harapan yang menjuarai zaman Mahathirisme!" katanya.

Lihat Komen