malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas orang kuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini 'menggalakkan' kempen undi rosak yang dicadangkan sesetengah pihak akhir-akhir ini.

Kata bekas pengerusi SPR itu pihak yang patut melaksanakan kempen berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ialah anggota dan penyokong BN.

"Saya galakkan orang sebelah sana yang rasa benci kepada pemimpin mereka tetapi tak berani bersuara (mengenai rasa tak puas hati) tentang kleptokrasi," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Abdul Rashid ditanya wartawan pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

Turut hadir Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Rashid yang juga naib presiden BERSATU berkata beliau turut menggalakkan penyokong BN yang berasa tidak senang kepada kepimpinan parti supaya tidak keluar mengundi.

"Tak payah keluar mengundilah penyokong mereka ni, (biar) yang keluar mengundi penyokong kita saja," katanya.

Gesaan supaya pengundi merosakkan undi pada PRU ke-14 ini dibuat pihak tertentu sebagai tanda protes mereka terhadap BN dan HARAPAN, terutama selepas gabungan pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Satu peratus faktor penentu

Isu berkenaan turut menjadi agenda utama dibincangkan Majlis Presiden HARAPAN hari ini.

Mengulas mengenai isu itu Dr Mahathir berkata gerakan berkenaan adalah kecil dan hanya melibatkan kira-kira satu peratus pengundi saja.

Beliau juga menganggap penyokong gerakan berkenaan sebagai "berfikiran cetek".

Dr Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa beliau tidak ada banyak bezanya berbanding Datuk Seri Najib Razak.

"Saya tidak fikir saya macam Najib (sebab) saya tak curi duit, buat 1MDB dan sebagainya.

"Jadi untuk mengatakan kalau saya jadi perdana menteri tak ada bezanya sebab saya diktator, saya rasa ini adalah pandangan orang yang cetek pemikiran," katanya.

Menurut Dr Mahathir jika negara tidak memerlukan perubahan dalam negara ini, beliau tidak berminat untuk terbabit semula dalam politik.

"Saya dah 92 tahun, tak lama lagi 93. Saya bukannya nak sangat jadi perdana menteri (sekali lagi)," katanya.

Mengenai pencalonannya sebagai perdana menteri HARAPAN Dr Mahathir berkata beliau menerimanya kerana ia adalah kesepakatan pemimpin dalam gabungan berkenaan.

Sementara itu Dr Mahathir memberitahu pemuda HARAPAN akan bertemu pihak yang menggerakkan kempen undi rosak bagi mengadakan perbincangan.

Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, HARAPAN menghargai setiap satu undi yang diberikan rakyat negara ini.

"Jadi jumlah mereka walaupun 1 peratus, ia boleh jadi faktor penentu," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen