malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jangan heret istana isu peruntukan negeri'
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 7:00 PM
Dikemaskini: 11:05 AM
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan kesemua ADUN di negeri itu bagi membuat permotanyaan di pejabat daerah mereka atau berjumpa beliau secara peribadi jika mereka berhadapan masalah mendapatkan peruntukan negeri bagi tujuan pembangunan.

Beliau berkata ia merupakan pendekatan yang betul dan bukan melibatkan pihak istana untuk campur tangan berkaitan urusan pentadbiran.

"Semua ADUN. In fact, pembangkang pun kita bagi. Inilah satu-satunya negeri yang memberi peruntukan untuk pembangkang.

"Namun, sekiranya ada masalah perlaksanaan, ADUN berkenaan boleh jumpa DO (pegawai daerah) kerana DO merupakan pengawal kewangan.

Pintu terbuka, bincang

"Atau boleh berjumpa saya. Pintu saya selalu terbuka. Kita boleh bincang. Soal pentadbiran jangan heret istana untuk menyelesaikannya," kata beliau.

Beliau menjelaskan pada setiap tahun, pentadbirannya memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pembangunan .

"Bagi setiap ADUN ada peruntukan pembangunan tahunan mulai 1 Januari. Namun pada awal tahun penyaluran kepada DO mengambil masa," katanya.

Azmin bercakap kepada pemberita di Kuala Selangor hari ini selepas mengedarkan kad kebajikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) kepada golongan wanita yang layak dari kawasan Ijok, Bukit Melawati dan Permatang hari ini.

Baru-baru ini, laporan media mendakwa ADUN PAS berhadapan kesukaran mendapatkan peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan kegiatan pembangunan di kawasan mereka. Bagaimanapun, tiada petunjuk jelas kepimpinan tertinggi PAS berhubung hal ini.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dilaporkan menggesa Azmin untuk tidak membenarkan kecenderungan politik menguasai pentadbiran negeri Selangor dan tiada diskriminasi atas dasar keahlian parti politik.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga menyebut hal yang sama dalam laporan New Straits Times berkata beliau tidak percaya peruntukan kerajaan negeri dibekukan.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi memberitahu Malaysiakini pada 18 Januari lalu bahawa partinya sedang mempertimbangkan untuk membawa perkara itu ke pengetahuan istana jika ADUN PAS berhadapan masalah itu.

Beliau juga berkata ADUN PAS Selangor tidak berhadapan dengan masalah mendapatkan dana kerajaan negeri bulan lalu.
 

Lihat Komen