malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Parti miskin macam BERSATU tiada masa depan'
ADS

Usia setahun jagung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan masih belum mampu menandingi lawannya iaitu Umno-BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Di samping perlawanan idea untuk membangunkan negara, peruntukan kewangan juga penting untuk membantu rakyat, kata anggota parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Kalah menang dalam pilihan raya ini kebanyakannya bergantung kepada calon.

“Kalau calon itu jenis makan duit dan dia lama dah tak ada duit, kemudian BERSATU (contohnya) bagi dia duit dan dia pakai untuk (kegunaan) dia, tak bagi kepada orang kampung, kalah juga,” katanya.

Dalam temubual bersama Malaysiakini di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, Zahidi membayangkan calon pilihan raya sedikit sebanyak harus mempunyai kewangan yang kukuh.

“Jadi kebanyakan calon parti miskin ini, parti yang tidak ada wang ini calon makan duit, duit tak turun ke bawah secara adil.

“Ini masalah dia dan susahlah.

“Ini yang akan main peranan dan percayalah BERSATU ini tak akan menang," kata Zahidi ketika ditanya pengaruh parti serpihan Umno itu, khususnya di Kedah yang dianggap antara negeri paling berpotensi untuk dikuasai parti itu.

BERSATU Kedah dipimpin bekas menteri besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, anak perdana menteri keempat yang kini memimpin gabungan utama pembangkang.

Mahathir, bapa pemodenan negara, disebut-sebut bakal bertanding di Langkawi, selain beberapa lagi pilihan lain.

Bergantung kepada pengaruh tokoh pembangkang itu dan rekod sepenggal Mukhriz, BERSATU berharap gelombang perubahan dalam bermula di negeri-negeri utara tanah air.

BERSATU dan PKR dilapor sama-sama akan menerajui gabungan parti dalam Pakatan Harapan di Kedah pada PRU akan datang dengan masing-masing diperuntukkan enam kerusi parlimen, diikuti Parti Amanah Negara (AMANAH) tiga kerusi.

Di Perlis pula, pembangkang akan diketuai oleh BERSATU dengan dua kerusi parlimen berbanding PKR satu kerusi.

Zahidi, tokoh Umno dari Perlis, negeri paling utara di Malaysia, itu bagaimanapun tidak nampak harapan BERSATU itu akan menjadi kenyataan, walaupun Mahathir bertanding di Langkawi.

Antara duri dalam daging pembangkang, di mata Zahidi, adalah PAS yang tidak lagi bersama gabungan utama pembangkang.

"Bahagian utara sekarang ini marginal. Kekuatan PAS dengan BERSATU di utara ini ada juga. Cuma Umno ini bernasib baik kerana penyokong tegar PAS ini tak akan bagi undi kepada pembangkang.

"Dia akan ikut cakap (Presiden PAS Datuk Seri) Haji Hadi (Awang). Jadi, undi itu akan terbahagi dua,” katanya.

128 kerusi selamat BN

Sementara itu, berdasarkan congakannya, Zahidi yakin BN akan terus selesa di kerusi-kerusi parlimen luar bandar.

"PRU ini senang sahaja. PRU ini ada 148 kawasan parlimen luar bandar dan 128 lagi ini penyokong penuh luar bandar, 20 (kerusi) lagi urban sikit. Macam Kangar, urban sikit.

"Jadi, 128 parlimen solid luar bandar, kampung. Yang di sini hanya PAS dengan Umno akan bertarung, BERSATU tak ada, PKR tak ada...” kata pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu.

“Jadi (di) 128 (kerusi itu), katalah PAS menang lapan dan Umno menang 120. Dan PAS kalau menang pun tak akan sokong Pakatan Harapan, dia akan sokong Umno.

"(Dengan) 128 (kerusi) ini, ikut mana pun kerajaan (BN) perintahlah, itu sahaja," katanya.

Zahidi bagaimanapun mengakui jika ada yang terjejas sekali pun ia hanya melibatkan undi parti komponen BN.

PRU ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

Lihat Komen