malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengiring didakwa terima rasuah penjual nombor ekor
ADS

Seorang pegawai pengiring mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperoleh rasuah wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang penjual nombor ekor, Februari tahun lepas.

Muhammad Redzuan Rusmi, 29, didakwa telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Ang Chee Keong, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak polis terhadap kesalahan Ang yang menjual nombor ekor dalam talian secara haram di tapak pembinaan di Lot 53427 dan Lot 53653, Jalan Bakti, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dalam sebuah kereta jenis Honda Accord bertempat di Jalan Bakti, Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur pada 3 petang, 16 Feb 2017 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Diana Nor Azwa menawarkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada SPRM dan tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen