malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia bukan seperti Amerika Syarikat yang perlu menamakan calon presiden ketika pilihan raya.

Menurut Abdul Hadi apa yang penting bagi PAS ketika ini bukan menamakan calon perdana menteri sebaliknya 'mengikut petunjuk nabi' dan meyakini asas Islam.

"Kita tak terikut mencalonkan (perdana menteri). Malaysia tak ada calon presiden, calon perdana menteri. Itu sistem di negara ini.

"Malaysia bukan Amerika yang pilih calon presiden, Malaysia bukan British nak pilih calon perdana menteri. Malaysia adalah Malaysia.

"Kita ikut petunjuk Nabi, yakinlah dengan asas Islam, kita akan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam yang menyaksikan kehadiran kira-kira 7,500 penyokong parti Islam itu.

Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan siapa calon perdana menteri daripada PAS.

Mahathir turut mempersoalkan pendirian PAS sama ada menyokong beliau sebagai perdana menteri atau Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mahathir perkara itu penting untuk dinyatakan kerana ia akan menggambarkan sama ada parti itu boleh menang atau tidak dan sama ada calon mereka akan mendapat sokongan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

'Tak mengundi bertentangan Islam'

Selain itu, dalam ucapan sama, anggota parlimen Marang itu menyelar tindakan segelintir golongan muda yang tidak daftar sebagai pengundi dan tidak keluar mengundi.

Menurut Abdul Hadi, tindakan sedemikian merupakan satu tindakan yang salah dan bertentangan dengan Islam.

Ini kerana, menurutnya, terdapat firman Allah yang menyebut bahawa Tuhan menjadikan Nabi Adam dan manusia sebagai khalifah (pentadbir Islam) di muka bumi.

"Islam merangkumi seluruh hidup manusia. Maka menjadi kewajipan umat Islam terlebih dahulu daripada orang lain berjuang untuk memilih kerajaan dan memimpin kerajaan yang adil untuk semua.

"Malangnya hari ini ramai kalangan umat Islam, anak muda yang menganggap mengundi pada pilihan raya tak penting, tak mahu keluar mengundi.

"Ini satu anggapan yang salah, bertentangan dengan agama Islam," katanya sambil menegaskan bahawa nabi dan rasul tidak pernah memisahkan dakwah dan politik.

 

Lihat Komen