malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Jangan berharap pada pembangkang yang curiga sesama sendiri
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat ternyata tidak boleh menaruh harapan kepada pembangkang untuk memimpin negara memandangkan mereka sendiri tidak senang antara satu sama lain.

Beliau berkata, ia berbeza dengan BN yang sudah mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negara.

"Kita sudah bina negara yang aman dan stabil, bawa banyak kemajuan dan transformasi, jaga keselamatan negara dan tiada ancaman kepada rakyat.

"Kita ada agenda (dan) perancangan, kita telah laksanakan dan akan terus melaksanakannya," katanya dalam ucapan perasmian Sahabat Puteri Barisan Nasional atau Azalea 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

"Itu dia beza kita dengan pembangkang, mereka untested politician (tidak teruji), mereka sebenarnya tak senang hati dan curiga antara satu sama lain. Kita tak boleh taruh harapan pada mereka melainkan BN,” katanya lagi.

BN memang sentiasa membangkitkan keamanan negara dan pengalamannya mentadbir untuk membezakan pihaknya dengan pembangkang.

Di pihak Pakatan Harapan (HARAPAN) pula, pembahagian kerusi seperti yang diumumkan pada 7 Januari lalu serta pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri turut menimbulkan pergeseran antara parti komponennya.

Pilihan raya umum (PRU) ke-14 perlu diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari selepas penggal ke-13 berakhir pada 26 Jun 2018.

Sementara itu, Najib sekali lagi menyindir usia Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sudah terlalu tua untuk memimpin negara.

“Kita mempunyai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai antara 20 negara terbaik dunia, ini semua boleh kita lakukan.

"Tetapi saya nak tanya, sama ada orang berumur 93 tahun boleh membawa kita ke arah masa depan itu," katanya yang tidak menyebut nama calon perdana menteri Pakatan Harapan itu secara langsung.

Semalam, Najib juga memberi sindiran sama apabila dilaporkan berkata Zimbabwe pun menolak pemimpin mereka yang berusia 93 tahun, merujuk kepada Robert Mugabe yang digulingkan November lalu.

“Masih ada lagi yang mahu pesara 93 tahun menjadi perdana menteri. Tak ada negara yang mahu. Termasuk Zimbabwe," katanya seperti dipetik.
 

Lihat Komen