Kalangan pelabur dan peserta pasaran wang lebih berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) minggu depan yang berkemungkinan memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini di tahap 3.0 peratus.
Spekulasi di pasaran menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus.
Dalam pada itu, kadar-kadar jangka pendek dijangka terus stabil pada minggu depan dengan jangkaan BNM akan terus campur tangan bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada pasaran.
"Pandangan di pasaran ternyata bercampur-campur. Spekulasi di pasaran menyatakan ada kemungkinan besar MPC akan membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas minggu depan. Ini berikutan pendirian (BNM) membabitkan kemungkinan itu pada mesyuarat sebelum ini.
"Namun, pada masa sama ada beberapa pihak pula berpendapat bahawa kenaikan itu tidak perlu," kata seorang peniaga kepada Bernama.
Kali terakhir bank pusat itu membuat pelarasan OPR adalah pada 26 Julai 2016 apabila ia mengurangkannya (daripada 3.25 peratus) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus, atas alasan risiko kemungkinan pengunduran Britain daripada Kesatuan Eropah (EU).
Sejak itu, BNM mengekalkan kadar itu berdasarkan pendirian bahawa dasar monetari adalah akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.
Menurut peniaga itu, tanpa kenaikan OPR atau sebaliknya, BNM sememangnya dijangkakan untuk campur tangan dengan tender harian dan menerusi instrumen konvensional dan Islam untuk menstabilkan pasaran wang tempatan jika perlu berbuat demikian.
Mekanisme bagi menyerap lebihan dana itu termasuk menerusi tender pasaran wang, tender repo, lelongan matang kedua-dua tender pasaran wang konvensional dan Islam serta Komoditi Murabahah.
Bagi minggu yang baru berakhir, BNM campur tangan setiap hari bagi menangani lebihan dana.
Jumlah lebihan dana bagi minggu berkenaan bertambah kepada RM28.62 bilion dalam operasi konvensional berbanding RM27.04 bilion pada Jumaat lepas manakala dalam dana Islam, ia turut meningkat kepada RM9.17 bilion berbanding RM8.72 bilion sebelum ini.
Bagi asas minggu ke minggu, penanda aras tiga bulan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) berada pada 3.43 peratus.
Kadar rujukan Islam semalaman berada pada 2.97 peratus manakala kadar seminggu, dua dan tiga minggu masing-masing 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus bagi tempoh sepanjang minggu.
- Bernama