malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HARAPAN Terengganu belum selesai runding kerusi
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:59 AM
ADS

Pakatan Harapan Terengganu masih belum selesai sepenuhnya proses rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan 32 kerusi di negeri itu, kata ketua penerangannya Hambali Abdul Latiff.

"Seperti disebut oleh Pengerusi HARAPAN Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad kelmarin, HARAPAN Terengganu masih mencari jalan terbaik bagi penyelesaian pembahagian kerusi DUN.

"Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu mengesahkan HARAPAN masih belum selesai sepenuhnya proses perundingan pembahagian kerusi DUN melibatkan 32 kerusi seluruh Terengganu," kata Hambali dalam kenyataan medianya hari ini.

HARAPAN Terengganu baru-baru ini mengumumkan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) akan bertanding di Parlimen Besut, Hulu Terengganu dan Setiu, sementara PKR di parlimen Dungun dan Kemaman.

Manakala AMANAH pula akan bertanding di parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Hambali berkata Timbalan Pengerusi HARAPAN Terengganu, Datuk Razali Idris yang dilantik mengetuai Jawatankuasa Pengurusan HARAPAN kini sedang melengkapkan jentera walaupun pembahagian kerusi untuk DUN belum dimuktamadkan.

Dua penjuru antara PAS-AMANAH

Sementara itu mengulas khabar angin mengatakan BN tidak akan meletakkan calonnya di Parlimen Marang dan DUN Rhu Redang, Hambali berkata sekiranya benar ia akan membuka jalan kepada pertandingan dua penjuru antara PAS dan AMANAH.

Pada masa ini Parlimen Marang dan DUN Redhang disandang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kedudukan ini membuka jalan kepada PAS berdepan AMANAH melalui pertandingan dua penjuru. (Namun) setakat ini berita itu tidak dapat disahkan," katanya.

Berikut senarai lengkap Jawatankuasa HARAPAN Terengganu:

Pengerusi – Datuk Raja Kamarul Bahtin Raja Ahmad (AMANAH)

Timbalan Pengerusi: Azan Ismail (PKR) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya dan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto

Datuk Razali Idris (BERSATU) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan

Ng Chai Heng – Bendahari

Setiausaha – Wan Bukhari Wan Mohamad

Ketua Srikandi – Syarifah Norhayati bt Syed Omar

Ketua Pemuda – Hasbi Muda (AMANAH)

Ketua Penerangan/Pengarah Komunikasi – Hambali Abdul Latiff (BERSATU)

Pengerusi Hal Ehwal Undang-Undang – Mohd Yusop Majid (BERSATU)

Lihat Komen