malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan mahkamah bolehkan Nik Nazmi tanding PRU-14
ADS

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad boleh mempertahankan kerusinya dan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ini susulan keputusan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohtarudin Baki yang menolak rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan denda RM1,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mendapati rayuan itu tidak mempunyai merit.

Hakim-hakim lain termasuk Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Nik Nazmi dan peguamnya Syahredzan Johan berharap pihak pendakwaan tidak terus merayu hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Nik Nazmi pada Disember 2016 mengaku bersalah kerana tidak memberi notis 10 hari untuk mengadakan perhimpunan Black 505, beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-13.

Timbalan pendakwa raya K Mangai mahukan Nik Nazmi didenda RM5,000.

Jika dibenarkan mahkamah, Nik Nazmi akan hilang kelayakan bertanding dalam PRU akan datang.

[Baca berita penuh]

Semtara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan denda RM1,500 diputuskan Mahkamah Tinggi ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bagi kesalahan menganjurkan perhimpunan “Black 505” tanpa permit pada 2013.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan untuk menaikkan jumlah denda itu.

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata tiada sebarang merit dalam penghujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai.

“Denda RM1,500 diputuskan Mahakamh Tinggi tidak semestinya tidak memadai," katanya.

Beliau berkata Nik Nazmi, sebagai wakil rakyat yang dipilih, tidak sepatutnya bertindak membelakangkan undang-undang.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Nik Nazmi layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang. Kelayakan beliau untuk bertanding dalam PRU14 akan terlucut sekiranya denda dinaikkan kepada lebih RM2,000.

Perkara 64(1)(e) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor menetapkan seseorang itu lucut kelayakan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri sekiranya beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada setahun dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 tanpa mendapat pengampunan.

Nik Nazmi, 35, didenda RM1,500 atau penjara dua minggu jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 8 Dis, 2016 selepas beliau mengaku salah terhadap pertuduhan gagal memaklumkan ketua polis daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum menganjurkan perhimpunan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 8.30 malam pada 3 Mei 2013.

Beliau membayar denda itu.

Dalam hujahannya, Mangai mendesak bagi denda itu dinaikkan kepada RM5,000 , menyatakan jumlah RM1,500 adalah tidak memadai dan kepentingan awam hanya terpelihara sekiranya jumlah denda dikenakan berbentuk pengajaran.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi semasa mengenakan jumlah denda itu tidak harus menimbangkan sama ada Nik Nazmi, yang juga anggota majlis eksekutif Selangor akan kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri diwakilinya.

Peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi pula berhujah hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan semua faktor sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Nik Nazmi.

Beliau berkata dengan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, Nik Nazmi menerima hakikat bahawa beliau telah melakukan kesalahan dan mengakui kesilapan dibuatnya.

Lihat Komen