malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta 'pakar' dan penganalisis politik supaya membuka firma perundingan untuk meramalkan masa depan.

"Orang-orang ini perlu membuka firma perundingan mengenai bagaimana untuk meramalkan masa depan.

"Mereka tahu lebih banyak mengenai apa yang boleh berlaku berbanding manusia biasa," kata bekas perdana menteri itu pada sidang akhbar di Petaling Jaya petang ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai simulasi firma penyelidikan Politweet yang meramalkan BERSATU hanya boleh memenangi sehingga enam kerusi jika sentimen pengundi dalam pilihan raya kekal seperti tahun 2013.

"Ya, kita hanya akan bertanding enam kerusi," sindir Mahathir.

Simulasi Politweet itu juga meramalkan bahawa PKR akan memenangi 34 kerusi, DAP 34 kerusi dan Parti Amanah Negara (AMANAH) 19 kerusi.

Simulasi ini tidak mengambil kira faktor PAS yang telah memecahkan undi pembangkang dan persempadanan semula.

HARAPAN pada konvensyen gabungan itu 7 Januari lalu mengumumkan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi di Semenanjung, lebih satu kerusi berbanding PKR.

Sementara itu, Mahathir yang juga calon perdana menteri HARAPAN, berkata gabungan itu akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya ia boleh mendapatkan satu salinan daftar pemilih terkini.

Beliau mendakwa gabungan itu telah menemui percanggahan dalam salinan yang mereka miliki, seperti 3.9 juta pengundi yang tidak mempunyai alamat lengkap.

Beliau juga berkata HARAPAN akan meminta kerajaan memanggil pemerhati antarabangsa untuk memantau pilihan raya umum akan datang.

"Ini perlu dilakukan oleh kerajaan, jadi kami akan minta kerajaan membuat permintaan kepada Komanwel, PBB dan sebagainya," katanya.

Lihat Komen