malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN |  Dalam sistem negara kita, perdana menteri dipilih daripada Anggota Parlimen yang mendapat keyakinan majoriti.

Oleh yang demikian, menjadi hak pakatan pembangkang, yang mana Anggota Parlimennya berada di Parlimen bagi mengenal pasti calon perdana menteri mereka, dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan para anggota parlimen dan orang ramai.

Tanpa ragu-ragu dapat diramalkan penamaan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengundang kontroversi dan ia telahpun terjadi. Dijangkakan beberapa anggota gabungan yang dibina atas seruan agenda Reformasi ini mungkin mempunyai masalah dengan keputusan tersebut.

Ramai di kalangan kita, melihat kelahiran gerakan Reformasi yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat semangat atas keberanian beliau dan keberanian ramai rakyat Malaysia yang melawan penindasan yang wujud pada ketika itu.

Perasaan dan semangat itu belum hilang. Malah dipergiatkan lagi ketika berhadapan dengan pentadbiran semasa. Reformasi adalah platform yang membawa parti-parti pembangkang mendapat kejayaan dalam dua pilihan raya umum yang lalu. Reformasi tetap terus kekal.

Takdir mengubah segalanya, Mahathir kini menyokong Reformasi dan sangat penting sekali agenda pembaharuan menjadi tema pokok kepimpinan beliau. Manifesto HARAPAN sepertimana yang dinyatakan setakat ini pada dasarnya tentang reformasi.

Berita baiknya, pengumuman calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah menghentikan perbincangan berterusan dan rumit mengenai isu tersebut. Bagaimanapun, seseorang mesti memahami pandangan berbeza yang kini muncul daripada kalangan anggota parti dan orang ramai yang telah lama menyumbangkan masa, tenaga dan emosi dalam gerakan reformasi.

Mungkin pemimpin parti tidak menyiapkan mereka dengan baik. Sangeet Kaur Deo, seorang yang berani (benar-benar anak perempuan ayahnya). Sangeet (gambar, bawah) ialah salah seorang daripada mereka yang menyuarakan pandangan itu. Kita tidak boleh menolak suara yang berbeza kerana mereka berhak untuk menyatakan pandangan mereka.

Pemimpin mesti melibatkan diri dengan mereka dan memujuk mereka supaya bergegas datang bersama-sama dalam suatu gerakan kerana masa menjadi intipati penentuannya dan HARAPAN mesti meneruskan tugas di tangan. Dengan kata lainnya, kita perlu bergerak ke hadapan.

Saya berpendapat negara kita sedang berhadapan kebarangkalian keruntuhan kedaulatan undang-undang, penciptaan diktator mutlak dan penguasaan kleptokrasi sebagai kebiasaan.

Kita mempunyai pemimpin yang melanggar undang-undang dan terus memegang kuasa dengan memperkuat kedudukan mereka. Ada antara mereka yang tidak patut berada di Putrajaya dan seharusnya di letakkan di tempat lain. Malaysia sepatutnya mendapat kepimpinan yang lebih baik. Benar-benar lebih baik lagi.

Sebagaimana mutiara kata, 'kuasa itu cenderung disalahgunakan dan kuasa mutlak pula memang disalahgunakan semutlaknya'. Malang sekali, rakyat Malaysia sedang menghadapi kuasa mutlak.

Walaupun semua naluri kita membawakan kita untuk percaya kemungkinan perubahan mesti terjadi tetapi beberapa pengundi dan penganalisis yang dihormati telah meramalkan BN akan memenangi pilihan raya umum akan datang. Bagaimana mungkin terjadi begitu?

Kita perlu realistik. Kita harus menunjukkan kenyataan yang jelas bahawa masyarakat kita cukup rumit. Apa yang penting kepada seseorang pengundi itu tidak semestinya penting kepada pengundi yang lain. Lebih-lebih lagi, kita mesti mengambil faktor penipuan besar-besaran yang sedang berlaku (dan akan terus berlaku), persempadanan semula SPR, ketiadaan Anwar yang dinamik dan perubahan hati PAS.

Tiga faktor kritikal terakhir ini tidak ada dalam PRU13, walaupun sekarang kita mesti memasukkan Bersatu ke dalam perkiraan, belum lagi menyebut Parti Warisan serta beberapa perkembangan di Sabah dan Sarawak.

Perlu diberi perhatian, majlis ceramah bukanlah petunjuk yang baik terhadap apa yang sebenarnya berlaku dalam pilihan raya. Tiada apa-apa yang boleh menggantikan kerja keras di lapangan pilihan raya.

Meskipun begitu, pembangkang selalu mendapat halangan yang kelihatannya tidak dapat ditempuh tetapi kemudiannya meraih manfaat daripada keadaan itu.

Dalam PRU13, mereka memenangi undi popular. Pembangkang tidak mudah mengalah. Lihatlah kejayaan Selangor dan Pulau Pinang.

Namun demikian, tinjauan dan analisis, walaupun negatif, tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

Pemimpin harus mempunyai kerendahan hati untuk mendengar pandangan yang berbeza bukan hanya mempercayai apa sahaja perkara yang mereka ingin dengar.

Kenali dirimu, musuhmu

Pakar taktikal yang pintar sekali pun akan sentiasa mendengar dan belajar serta menggunakan penemuan tersebut untuk lebih bersiap sedia. Lebih baik terlebih bersiap sedia daripada tidak bersiap sedia langsung.

Seni perang Sun-Tzu menyatakan:

"Kenali dirimu,
kenali musuhmu,
kenali medan tempurmu.
Dan kau akan memenangi seribu pertempuran.”

Kita sedang berdepan dengan krisis dan kita semua mesti bersatu atas tujuan yang lebih tinggi demi negara kita.

Terdapat satu tujuan dan satu matlamat sahaja, untuk membawa perubahan bagi kebaikan rakyat.

Mahathir seorang yang berdisiplin, rajin serta fokus. Itulah yang diperlukan saat ini.

Kepada sesiapa yang tidak pasti, sesiapa juga yang tidak mahu mengundi atau berada di atas pagar, dengarlah rayuan saya. Negara ini memerlukan anda sekarang.

Setiap undi itu sangat penting. Sekurang-kurangnya lakukanlah untuk rakyat yang mengundi, supaya usaha mereka tidak sia-sia.

Ini bukan masanya untuk memboikot pilihan raya atau merosakkan undi anda kerana Malaysia tidak mampu lagi untuk membiarkan keadaan sekarang berterusan.

Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, maka anda merasakan anda telah menghukum kedua-dua parti. Hakikatnya, anda hanya menghukum sebelah pihak sahaja. Anda tahu pihak yang mana.

Mengundi suatu kerajaan yang baru bermakna permulaan sebuah demokrasi yang sihat. Ini bermakna kemenangan demokrasi dan lanjutan daripada proses itu, rakyat juga yang menang.

Rakyat adalah bos

Tiada kerajaan yang memiliki hak mutlak memerintah dan tentunya tidak untuk selama-lamanya. Demokrasi sejati bermaksud rakyat boleh menggantikan kerajaan yang tidak mendengar kata ini melalui pilihan raya yang bersih dan adil.

Maknanya, kuasa dikembalikan kepada rakyat, pemilik sebenar kekuasaan. Ia suatu sistem yang bererti rakyat adalah bos.

Mereka yang menjejaskan hak setiap warga bagi mendapatkan pilihan raya yang bebas dan adil adalah pengkhianat kepada rakyat. Lantaran itu, kita mesti keluar beramai-ramai untuk mengurangkan kesan negatif golongan ini.

Justeru, pengundian dalam Pilihan Raya ke-14 (PRU14) bukan hanya setakat memilih satu pihak atau yang lain, tetapi juga mengenai ikhtiar dalam mengambil peluang bagi membuat pendirian terhadap sistem yang akan menjadikan hak asasi kita, termasuk hak untuk mengundi, tidak bermakna.

Hidup dengan harapan

Cuba bayangkan, sebuah negara yang dibina atas kedaulatan undang-undang, dengan pemimpin yang jujur berkhidmat kepada rakyat dan bukan untuk diri mereka sendiri.

Bayangkan juga kepimpinan yang menegakkan Perlembagaan Persekutuan serta memperkayakan rakyat dalam segala hal.

Impian ini boleh menjadi kenyataan Malaysia kita. Namun demikian, untuk ia berlaku, kita perlu bertindak, kita mesti keluar mengundi dan kita wajib hidup dengan harapan.

Bersama-sama, kita boleh mencipta suatu gelombang perubahan demi masa depan yang lebih baik untuk semua.

 


 


DATUK AMBIGA SREENEVASAN ialah bekas presiden Majlis Peguam. Artikel ini merupakan terjemahan tulisan asal beliau dalam bahasa Inggeris.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen