malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wartawan wanita dedah gangguan seksual ahli politik
Diterbitkan:  Jan 15, 2018 6:36 PM
Dikemaskini: 11:01 AM
ADS

Beberapa wartawan wanita di Malaysia tampil mendedahkan pengalaman mereka berdepan dengan gangguan seksual oleh ahli politik lelaki.

Menurut laporan oleh Asian Corresponden, seorang wartawan baru dengan sebuah laman berita, "Ally" mendakwa seorang ahli politik dari parti pemerintah menghantar mesej kepadanya pada tahun 2014 tentang bagaimana beliau "bermimpi untuk menunggangnya di atas katil."

Ally juga berkata bahawa ahli politik yang sama pernah meraba pahanya semasa satu sesi wawancara di pejabat ketika pembantunya meninggalkan bilik seketika.

Nama wanita itu telah diubah untuk melindungi identiti beliau.

Laporan itu menyatakan bahawa walaupun majikan Ally mengetahui mengenai mesej menteri itu, beliau diberitahu untuk “menggunakannya” untuk mendapatkan berita.

Beliau juga dikatakan dihantar ke temuduga dengan menteri itu di sebuah “bar” selepas waktu pejabat, atas permintaan editornya.

Ally diminta untuk memandu menteri berkenaan ke bar yang mereka sepatutnya bertemu atas alasan pemandunya tidak bertugas pada malam itu.

"Ketika kami tiba di bar, beliau kelihatan tidak selesa dengan kehadiran orang ramai, jadi beliau bergegas meneguk minumannya dan menggesa saya untuk membawanya pulang ke rumah.

"Pada saat kami tiba, tangannya berada di seluruh tubuh saya.

"Saya terpaksa menolaknya dengan keras dan berulang kali memberitahu bahawa saya bukan seorang gadis seperti itu," kata Ally.

Bagaimanapun, godaan itu berterusan, dan ahli politik itu bukannya satu-satunya orang yang membuat sedemikian.

Ally juga dilaporkan mendakwa godaan datang daripada ahli politik kerajaan mahupun pembangkang apabila beliau dijemput ke parti "eksklusif" yang dijemput.

"Saya ke parti dan kadang-kadang mereka menyambut saya dengan meramas dan memeluk tubuh saya dan kemudian memasukkan lidah mereka ke dalam mulut saya," katanya.

Beliau berkata tidak mungkin bagi dirinya untuk menolak jemputan-jemputan berkenaan sepanjang masa apabila ada ahli politik berkata mereka akan mencari alamatnya dan menjemputnya.

Menurut laporan itu, ada yang cuba menyelitkan wang ke dalam begnya dalam usaha memujuknya untuk pulang bersama mereka.

Walaupun dirinya lebih memahami apa yang berlaku sekarang, Ally tidak menganggap kejadian berkenaan sebagai gangguan seksual ketika itu, kerana beliau beranggapan ini adalah "lumrah bagaimana media berfungsi."

Seorang lagi wartawan wanita yang mendedahkan pengalamannya adalah wartawan The Malaysian Insight, Diyana Ibrahim, yang membenarkan Asian Correspondent menggunakan namanya dalam laporan mereka.

Beliau berkata dirinya akan menerima mesej daripada seorang ahli parlimen pada lewat atau awal pagi untuk bertanya sama ada dirinya mempunyai teman lelaki atau tidak.

Beliau tidak selesa dengan soalan-soalan berkenaan kerana perbualan mereka bertukar dari profesional menjadi peribadi.

Ahli Parlimen itu juga sudah berkahwin, katanya, walaupun terdapat spekulasi beliau mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Laporan itu menyatakan motif menjadi semakin jelas kemudian apabila ahli politik itu menyoal sama ada beliau lapang untuk menemaninya untuk makan malam.

Walaupun beliau menolaknnya, Diyana berkata, beliau tidak memarahi atau melaporkannya.

"Demi mendapatkan petikan dan maklumat untuk berita, kami perlu mengekalkan perhubungan yang baik dengan mereka yang berada dalam kedudukan yang berpengaruh, namun ada di antara mereka yang menyalahgunakan kedudukan.

"Adalah mengecewakan bahawa hubungan kerja kami menjadi begitu. Ia menjejaskan pekerjaan kami, mengganggu kami dan membuatkan kami merasa sangat tidak selesa," kata Diyana.

Laporan itu juga memuatkan pendedahan gangguan seksual daripada wartawan wanita dari Indonesia dan Filipina.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen