malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR S'gor: Tak puas hati bukan sebab Dr M calon PM
ADS

Ketidakpuasan hati terhadap pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan kerana mahu mengangkat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebaliknya, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie menegaskan ketidakpuasan hati itu disebabkan tiadanya penerangan dan maklumat awal berhubung cadangan tersebut.

"Tidak (penolakan sebab mahu Azmin jadi perdana menteri HARAPAN).

"Tetapi, kita tidak perlulah terlalu tersentak atau tergamam (dengan penolakan itu) kerana ia hanya luahan suara dari sebahagian kecil proses demokrasi.

"Di kalangan pimpinan tempatan yang bersuara mungkin mereka bersuara kerana tiadanya penerangan dan maklumat awal berhubung cadangan itu. Pastinya mereka terkejut kerana setelah hampir 20 tahun memusuhi Tun M, tiba-tiba dia dinamakan sebagai calon PM," kata Shuhaimi kepada Malaysiakini.

Shuhaimi berkata demikian mengulas apakah rasa tidak puas hati dengan pencalonan Dr Mahathir dari kalangan kem dalam PKR Selangor kerana mahu mengangkat Azmin yang juga menteri besar Selangor sebagai calon perdana menteri HARAPAN.

HARAPAN pada konvensyen mereka 7 Jan lalu mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri jika BN dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dr Wan Azizah pula dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun beberapa pihak menyatakan rasa tidak puas hati dengan pencalonan Mahathir, termasuk dari kalangan kem dalam PKR sendiri.

Malah ketika HARAPAN Selangor mengeluarkan kenyataan menyokong ketetapan itu, PKR tidak menyertainya.

Untuk rekod Azmin ialah timbalan presiden PKR, menteri besar Selangor merangkap pengerusi PKR negeri berkenaan.

Disampaikan ke peringkat negeri, cabang

Oleh demikian, Shuhaimi yang juga setiausaha politik menteri besar Selangor itu berkata adalah baik setiap cadangan Majlis Pimpinan Pusat HARAPAN dipanjangkan kepada peringkat negeri serta cabang.

"PKR Selangor melihat ini gagal dilakukan yang menyebabkan kedengaran suara di sana-sini.

"Sebaiknya ada proses cadangan yang sampai ke pengetahuan semua Majlis Pimpinan Negeri serta Cabang dan setelah dibincang di kalangan mereka kemudian barulah diangkat semula ke Pusat," kata Shuhaimi.

Bagaimanapun, Shuhaimi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda berkata ia bukanlah isu besar namun tetap berharap perkara tersebut menjadi perhatian pimpinan tertinggi.

"Ia bukan isu besar. Bagi kami PKR Selangor akan bergerak terus kehadapan dan fokus dalam membantu usaha menteri besar membangunkan Selangor seperti mana yang kami lakukan sebelum ini

"Kami berharap kepimpinan utama parti di pusat 'merenung' semula keputusan yang telah dibuat bagi mencari titik pertemuan yang harmoni. Masih ada ruang bagi semua pihak muhasabah diri," tegas Shuhaimi.

Lihat Komen