malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Saya ingin membuat beberapa penjelasan dan penegasan berhubung isu perobohan kuil milik Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang terletak di atas sebuah tanah milik persendirian pada Khamis, 11 Januari 2018 yang lalu.

Didapati wujud beberapa kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat umum tentang fakta dan keadaan sebenar isu ini.

Pertama, perlu ditegaskan bahawa perobohan tersebut adalah dilakukan oleh individu pemilik sah tanah tersebut atas kapasitinya selaku pemilik tanah, dan bukannya oleh pihak kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan.

Kedua, ia sebenarnya dirobohkan dengan kebenaran perintah mahkamah yang dipohon secara persendirian oleh pemilik sah tanah tersebut dan tidak melibatkan pihak kerajaan negeri.

Ketiga, kerajaan negeri sebenarnya pernah mencadangkan sebidang tanah baru untuk menggantikan kuil di tanah persendirian tersebut.

Bagaimanapun, cadangan kerajaan negeri tersebut telah ditolak oleh pihak kuil yang berkeras untuk kekal di atas tanah milik persendirian di dalam kes ini.

Memandangkan isu ini berlarutan dan mula dipolitikkan, kerajaan negeri ingin sekali lagi menawarkan kepada pihak pengurusan kuil sebidang tanah baru yang telah dirizabkan sebagai tapak kuil di Jalan Persisiran, Seri Alam.

Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan dan melarat, adalah diharapkan kesediaan kerajaan negeri memberikan tawaran tapak kali kedua ini akan dipersetujui dan diterima baik oleh pihak pengurusan kuil.

Kerajaan negeri berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik kepada semua pihak.


DATUK MOHAMED KHALED NORDIN ialah menteri besar Johor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen