malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenapa syarikat fesyen terlibat projek terowong dasar laut, soal Wee
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 10:29 PM
Dikemaskini: 2:41 PM
ADS

Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan alasan penglibatan syarikat fesyen tempatan yang menjadi pemegang saham syarikat tujuan khas (SPV) yang digunakan dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Wee berkata kerajaan Pulau Pinang pada 2013 menyatakan bahawa dua syarikat pembinaan China akan menjadi pemegang saham dalam SPV.

“Namun hari ini, pemeriksaan kami menunjukkan dua syarikat pembinaan China tidak ada disenaraikan sebagai pemegang saham SPV,” katanya seperti dipetik The Star.

Beliau menambah, sebaliknya, sebuah syarikat fesyen bernama Voir dijadikan pemegang saham SPV dengan 39 peratus saham selebihnya dipegang beberapa penama.

The Star pada 31 Ogos tahun lalu melaporkan Voir berhasrat meluaskan bidang ke bidang pembinaan dengan membeli 13.21 faedah ekuiti dalam Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, syarikat yang memenangi tender projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini menegaskan kontrak berkenaan diberikan melalui tender terbuka.

Laporan itu turut menyatakan Consortium Zenith Construction dan Voir berkongsi pengerusi yang sama.

Wee berkata kerajaan Pulau Pinang perlu menjelaskan penglibatan Voir dalam projek berkenaan.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu jawab kerana rakyat Pulau Pinang berhak tahu kenapa terowong dasar laut berbilion mereka kini akan dibina dengan penglibatan syarikat fesyen kecil tempatan berbanding dua syarikat berpengalaman dan berdana besar seperti yang dijanjikan,” katanya.

Projek terowong dasar laut berkenaan kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyaksikan agensi itu menyerbu 12 syarikat berkaitan pada Selasa lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen