Dr M: Budaya Melayu penghalang Malaysia capai negara maju


(Dikemaskini )

Pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat sebagai strategi pakatan pembangkang untuk meraih undi di kalangan pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar.

Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sehingga peletakan jawatannya pada 2003 juga dikenali sebagai watak utama dalam isu-isu hak Melayu.

Namun, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga sinonim dengan kritikan tajam terhadap Melayu.

Pada program Bicara Wawasan 2020 hari ini di Cyberjaya, beliau mendakwa salah satu sebab rakyat Malaysia tidak akan menjadi negara maju menjelang 2020 adalah kerana budaya Melayu.

“Saya percaya kebolehan Melayu sama dengan orang Eropah dan orang Jepun, namun masalahnya adalah budaya.

“Kita dapati kita tidak komited, tidak begitu rajin dan tidak begitu boleh dipercayai.

“Kita sering cari jalan mudah, sebab itu kita tertinggal di belakang. Kita suka bila kerja sikit tapi gaji besar.

“Bukannya sebab kita tidak boleh tapi sebab kita tidak mahu, ini masalahnya,” katanya.

Banyak cuti umum

Dr Mahathir turut mengimbas semula ketika beliau menjawat sebagai menteri pendidikan, kakitangannya sering habis kerja pada pukul 3 petang.

“Saya tanya ketua setiausaha, kenapa mereka balik pukul 3 petang. Untuk elak kesesakan trafik (kata setiausaha saya).

“Tapi kita bayar mereka untuk kerja sampai pukul 4.30 petang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sikap itu bukan cara untuk menjadi negara maju kerana kita perlu melakukan sesuatu hal dengan terbaik.

Selain itu, Dr Mahathir turut menekankan bahawa terlalu banyak cuti umum di Malaysia dan rakyat Malaysia tidak begitu bekerja keras.

Ini menyebabkan negara menjadi 'autopilot', katanya dan menambah beliau tidak bersetuju hari Sabtu merupakan hari tidak bekerja.

Malaysia masih bukan negara maju seperti negara lain, katanya, justeru rakyat Malaysia perlu bekerja lebih keras.

“Jika kita lari lebih perlahan daripada orang di depan kita, bolehkah kita kejar? Sudah tentu tidak. Kita mesti lari lebih laju daripada mereka.

“(Bagaimana) anda mahu berjaya jika tidak berusaha? Mustahil kita boleh berjaya,” katanya.

Contohi Jepun

Di samping itu, Dr Mahathir yang memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur ketika pentadbirannya turut memuji budaya Jepun kerana rakyat negara itu berkembang pesar meski selepas Perang Dunia Kedua.

Orang Jepun sangat miskin selepas perang sehingga dibayar dengan segenggan beras dan sos soya, katanya, namun mereka bekerja keras untuk memulihkan negara mereka.

“Sebab mereka rajin dan komited, mereka berjaya memulihkan Jepun. Kini mereka kaya.

“Apa yang buat mereka berjaya bukan kerana mereka lebih cerdik daripada kita, tapi kerana budaya mereka yang membolehkan mereka mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.

“Namun di kalangan orang Melayu kini, maaf, sangat kurang rasa malu... Meski mereka tidak buat kerja yang baik, tidak apa,” katanya.

[Baca berita penuh]