malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan P Pinang digesa jelaskan percanggahan maklumat bayaran RM208j
ADS

BN Pulau Pinang hari ini meminta kerajaan Pulau Pinang menjelaskan sama ada bayaran RM208 juta bagi tiga projek jalan berkembar yang merupakan sebahagian daripada projek terowong dasar laut adalah bayaran untuk kajian kebolehlaksanaan atau laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Tiga projek jalan berkembar itu termasuk dalam cadangan pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PTMP) yang turut mengandungi terowong dasar laut, projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) dan Penang Sky Cab.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 19 Mei tahun lalu menyatakan jumlah keseluruhan nilai tanah sebanyak RM208 juta digunakan sebagai bayaran untuk kajian kebolehlaksanaan bagi tiga projek jalan berkembar itu.

"Jadi, siapa yang berkata benar? Ketua Menteri Lim Guan Eng atau Lim Hock Seng? Kami minta kerajaan negeri jelaskan," katanya pada sidang akhbar di Georgetown hari ini.

Semalam, Guan Eng pada sidang akhbar berkata bayaran RM208 juta itu adalah untuk laporan EIA bagi tiga projek jalan berkembar berkenaan yang dibuat melalui pertukaran tanah.

Teng berkata dalam jawapan bertulis itu, Hock Seng menyatakan tanah seluas 1.5 hektar di bawah Lot 702 Seksyen 1 Bandar Tanjung Pinang dinilaikan pada RM135 juta manakala tanah seluas 0.81 hektar sebahagian Lot 713 kawasan sama dinilaikan pada RM73 juta yang menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM208 juta, iaitu bersamaan dengan kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan bagi tiga projek jalan berkembar itu.

"Jelas sekali bahawa kajian kebolehlaksanaan itu telah dibayar oleh kerajaan negeri dengan memberikan dua bidang tanah seperti jawapan yang diberikan dalam persidangan DUN Pulau Pinang," katanya.

Teng berkata Guan Eng perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

- Bernama

Lihat Komen