malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kemenangan di Johor penentu survival BERSATU'
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 8:54 PM
Dikemaskini: 1:29 PM
ADS

Survival parti politik yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bergantung kepada kemenangannya di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Penganalis Wan Saiful Wan Jan berkata dalam satu kertas kajian, kemenangan BERSATU di negeri Selatan tanah air itu akan menjadi landasan kepada parti itu untuk berkembang sekiranya gagal membentuk kerajaan persekutuan.

"Hasratnya adalah agar Johor menjadi kubu yang mana parti itu dapat bertahan dan berkembang dalam jangka panjang, seperti PKR di Selangor, PAS di Kelantan dan DAP di Pulau Pinang.

"Oleh itu, Johor bukan seperti negeri yang lain. Ia boleh menjadi satu negeri yang akan menentukan untuk BERSATU wujud dalam jangka panjang," kata Wan Saiful dalam makalah yang diterbitkan oleh Iseas Institut Yusof Ishak Singapura.

BERSATU dijangka menjadi pencabar utama Umno di Johor dalam pertaruhan untuk meraih sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar (IMP) dan parti serpihannya, Semangat 46, gagal menguburkan Umno di Johor.

Beliau berkata ia juga tidak berkesan bagi BERSATU untuk hanya bertanding di kerusi majoriti Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

"Sekiranya BERSATU hanya bertanding di kawasan Melayu manakala PKR dan AMANAH di kawasan campuran, maka perjuangan untuk memecahkan dominasi Umno akan menjadi lebih sukar, berbanding dengan apa yang bakal dihadapi oleh rakan-rakan dalam HARAPAN.

"Ini bermakna parti-parti HARAPAN yang lain akan mendapat manfaat daripada gelombang, atau Tsunami Melayu, yang mungkin dihasilkan oleh penglibatan BERSATU tetapi BERSATU sendiri mungkin mendapat bilangan kerusi yang tidak adil," katanya.

Walaupun peruntukan kerusi negeri belum dimuktamadkan, BERSATU dijangka bertanding 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, sementara AMANAH hanya diperuntukkan dua kerusi.

Lihat Komen