malaysiakini logo
story-image
ADS

Undang-undang mengikat semua warga tanpa mengira kedudukan termasuklah bekas perdana menteri, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar.

Beliau mengulas isu Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak dibenarkan melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

"Tiada siapa yang terlepas daripada undang-undang ini, kecuali pengecualian tertentu. Saya sendiri sebagai menteri nak lawat kawan di penjara, kena ikut peraturan. Mana boleh main redah sahaja.

"Kalau dia (Mahathir) main jalan terus, sudah tentu (tak boleh). Tak adil kalau nak salahkan kerajaan pula. Sebagai bekas perdana menteri beliau patut tahu," katanya kepada Malaysiakini selepas satu majlis di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata arahan larangan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, tetapi dinafikan menterinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar pula berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Dr Mahathir untuk lawatan itu.

Namun ketika ditanya semalam adakah beliau akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri, Mahathir berkata pihak berkuasa pasti tidak akan memberikan maklum balas walaupun beliau membuat "100 permohonan".

Noh ketika ditanya sama ada Datuk Seri Najib Razak dan Zahid sendiri membuat permohonan sebelum melawat Anwar, beliau berkata tidak tahu-menahu tentangnya.

"Itu kena tanya mereka, saya bercakap berdasarkan pengalaman saya," katanya.

Najib melawat Anwar di Hospital Kuala Lumpur pada 17 November lalu, dua hari selepas ketua umum PKR itu menjalani pembedahan bahu. Lawatan Zahid menyusul sehari kemudian.

Lihat Komen