Pengiklanan

    Mahfuz doakan Hadi sihat, diberkati dunia akhirat

    (Dikemaskini )

    WAWANCARA | Dibandingkan seperti orang yang sudah lama mati, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau tidak menganggap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah melakukan kesalahan kepadanya.

    Ditanya sama ada beliau memaafkan Abdul Hadi, Mahfuz menjelaskan kata-kata anggota parlimen Marang itu tidak memberi kesan kepadanya.

    Malah Mahfuz mendoakan Abdul Hadi diberi kesihatan yang baik, sentiasa dipelihara Allah dan mendapat keberkatan dalam hidupnya di dunia dan akhirat.

    "Saya tak fikir Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi ada buat salah pada saya.

    "Saya menghormati semua orang dan saya tak terkesan dengan label diberikan walaupun beliau mengibaratkan saya ini macam mayat hidup," katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini hari ini.

    Mahfuz ialah veteran PAS yang pernah mendapat kepercayaan ahli parti itu untuk menduduki pelbagai jawatan. Namanya semakin dikenali apabila dipilih sebagai ketua pemuda PAS pusat, sebelum menjadi naib presiden parti.

    Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua penerangan, selain mempunyai hubungan dekat dengan bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

    Bagaimanapun perubahan aliran dalam PAS menyebabkan Mahfuz berselisih pandangan dengan kepimpinan parti namun beliau kekal menjadi ahli PAS hinggalah pada 31 Dis 2017 lalu.

    Mulai 1 Jan 2018 Mahfuz secara rasmi meninggalkan parti berkenaan namun belum menentukan parti politik barunya setakat ini.

    Memberikan reaksi terhadap keputusan Mahfuz itu kempimpinan PAS mengeluarkan pelbagai kenyataan.

    Bebas dari kusut fikiran

    Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man misalnya mengibaratkan Mahfuz seperti buah harumanis yang busuk.

    "Harumanis bila dah busuk, dia jatuh sendiri dan pada waktu itu sekupang pun orang tak tak mahu beli.

    "Jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelur dia sendiri terkejut dengan telurnya, riuh sekampung. Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga," kata Tuan Ibrahim.

    Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan pula menganggap PAS tidak kerugian apa-apa dengan pemergian Mahfuz dari parti berkenaan.

    Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengibaratkan Datuk Mahfuz Omar sebagai "orang yang dah lama mati" dan baru hendak ditanam.

    Mengulas kewajaran seorang tokoh ulama membuat kenyataan sebegitu, Mahfuz yakin masyarakat dapat membuat penilaian yang adil terhadapnya.

    "Itu terpulang kepada orang untuk menilai, tetapi bagi saya, saya sentiasa hidup dalam kemaafan.

    "Apabila kita hidup dengan perasaan kemaafan dan kasih sayang, maka kita akan tenang, bebas daripada kekusutan fikiran, muram, murung dan sebagainya," katanya.

    Begitu juga halnya dengan Tuan Ibrahim.

    Kata Mahfuz sindiran bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak membuat dia berkecil hati.

    Sebaliknya menurut Mahfuz beliau mengambil semangat daripada siri buku yang pernah ditulis oleh Tuan Ibrahim, berjudul Senyum.

    "Walaupun Tuan Ibrahim kata saya macam buah masak yang buruk, tapi saya tak ambil hati. Saya ambil apa yang dia ajar kepada saya dulu melalui buku tulisannya, Senyum," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih