malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bukan KDN yang halang pertemuan Dr M - Anwar'
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

Keputusan untuk tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukan daripada Kementerian Dalam Negeri, tetapi jabatan penjara sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan lawatan daripada bekas perdana menteri itu atau wakilnya.

"Kebiasaanya, perjumpaan khas seperti dalam Ketetapan Peraturan-peraturan Penjara 2000 boleh dipertimbangkan untuk pihak tertentu selain daripada keluarga untuk bertemu banduan.

"Setiap permohonan akan dipertimbangkan berasaskan urusan yang disifatkan antaranya sebagai mendesak dan mustahak seperti yang ditetapkan peraturan berkenaan.

"Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan daripada Dr Mahathir atau pihak beliau bagi menemui Anwar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, Jabatan Penjara membenarkan pertemuan Anwar dengan beberapa pemimpin, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, selepas permohonan mereka dipertimbang dan diluluskan.

Namun beliau tidak menyebut dengan jelas tentang kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz.

Semalam, Mahathir bersama-sama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk bertemu Anwar yang dirawat di sana.

Namun, tujuan itu tidak kesampaian selepas dihalang 30 pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang ditugaskan di sana.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri, Mahathir secara sinis berkata "100 permohonan" daripadanya pun tidak akan dibalas.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan kementeriannya mengarahkan jabatan penjara untuk menghalang pertemuan tersebut, seperti yang didakwa Mahathir semalam.

"Saya tidak menyentuh berkenaan perkara operasi (agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri).

"Kuasa pada dia (pihak penjara). Saya berikan kepercayaan sepenuhnya kepada ketua jabatan di bawah KDN," katanya seperti dipetik Utusan, hari ini.
 

Lihat Komen