malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas perdana menteri pun kena ikut prosedur, kata menteri
Diterbitkan:  Jan 10, 2018 11:40 PM
Dikemaskini: 4:06 PM
ADS

Mana-mana individu perlu mengikut prosedur yang betul jika ingin melawat mereka yang dikenakan hukuman penjara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau merujuk kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur petang tadi untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihalang pegawai Jabatan Penjara Malaysia.

Salleh berkata, Mahathir selaku bekas pemimpin negara sepatutnya tahu tiada sesiapa yang boleh sewenang-wenangnya berjumpa dengan banduan.

"Isteri banduan pun tidak dapat melawat suaminya jika tidak ikut prosedur. Tidak ada lawatan mengejut.

"Adakah Dr Mahathir mengikut prosedur yang betul?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir petang tadi menyatakan kekecewaannya kerana dihalang untuk bertemu Anwar.

"Saya rasa sedihlah, saya cuma nak jumpa dia, nak ucap terima kasih kerana dia tidak membantah bahkan menyokong saya sebagai calon (perdana menteri)," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri, Mahathir secara sinis berkata "100 permohonan" daripadanya pun tidak akan dibalas.

Salleh berkata lagi, selaku calon perdana menteri HARAPAN, Dr Mahathir sepatutnya menunjukkan contoh yang baik bahawa undang-undang terpakai untuk semua warga tanpa mengira kedudukan.

"Jika tidak, beliau hanya akan mengajar rakyat bahawa jika anda adalah 'seseorang' maka anda tidak perlu mengikut undang-undang," kata bendahari Umno itu lagi.

Salleh turut mempersoalkan tindakan Mahathir hari ini kerana bekas perdana menteri itu tidak pernah melawat Anwar sepanjang ketua umum PKR itu menjalani hukuman penjara.

"Bagaimanapun, sejak Dr Mahathir memerlukan Anwar untuk menyokongnya sebagai calon perdana menteri HARAPAN, tiba-tiba sahaja beliau begitu teruja untuk melawat Anwar," katanya lagi.

Lihat Komen