malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Bukan niat kita nak balas dendam
Diterbitkan:  Jan 10, 2018 12:07 PM
Dikemaskini: 4:16 AM
ADS

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan gabungan itu tidak berhasrat untuk membalas dendam kepada mana-mana pihak sekiranya berkuasa kelak.

Beliau memeberikan respons kepada pengguna Facebook yang mahukan HARAPAN menjalankan audit forensik ke atas setiap menteri BN dan "merampas kekayaan mereka untuk dikembalikan kepada rakyat" sekiranya memenangi pilihan raya umum.

Mahathir, semasa bercakap tentang dasar HARAPAN berhubung kos sara hidup di Facebook hari ini, berkata HARAPAN akan menghormati kedaulatan undang-undang.

"Apa yang kita janjikan, kita akan hormati the rule of law, bukan niat kita nak balas dendam terhadap mereka, tidak.

"Kami akan berpegang kepada rule of law, jika undang-undang kata orang yang mencuri duit perlu dihadapkan ke mahkamah, mahkamah akan putuskan sama ada betul atau tak dan kenakan hukum tertentu, itulah cara kami bukan cara kami tekan orang tertentu macam sekarang," katanya menerusi siaran secara langsung di Facebook.

Kata Mahathir ini berbeza dengan keadaan sekarang apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didakwanya mengenakan cukai tambahan kepada sesetengah pihak.

"LHDN akan kenakan cukai tambahan tanpa asas sama ada kecil besar perniagaan. Mereka (individu berkenaan) mempunyai resit menunjukkan mereka tak pernah lari dari cukai namun LHDN akan paksa mereka, jika tak dibayar, mereka akan disenarahitamkan, buku dirampas, dan macam-macam lagi deraan ke atas yang tak bayar cukai.

"Ini tak ada dalam undnag-undang," katanya.

Lihat Komen