malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Orang ramai berkumpul sokong Cikgu Idzahril
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 12:31 PM
Dikemaskini: 4:33 AM
ADS

Selepas isu melibatkan seorang guru di Nilai Azizan Manap, satu lagi kes hampir sama mendapat perhatian awam di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Hari ini, pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, sebagai tanda setiakawan kepada guru bahasa Inggeris Noor Idzahril Ahmad, lapor Sinar Harian.

Cikgu Idzahril, 52, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada muridnya yang berusia sembilan tahun pada 2 Ogos 2017.

Proses mahkamah kini di peringkat pendengaran kes.

Guru sekolah kebangsaan di Nibong Tebal itu berdepan hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kisah Idzahril mendapat perhatian pengguna maya selepas ia tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, akhbar itu melaporkan orang ramai berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret Jawi seawal jam 8 pagi bagi menyatakan sokongan moral kepada Idzahril.

Berdasarkan gambar, mereka memaparkan kain rentang bertulis “Doa untuk Cikgu Idzahril”.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa dan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat Datuk Mohamed Sabri Mohd Arshad turut hadir.

Cikgu Idzahril hadir ditemani tiga peguam. Pengamal media dilapor tidak dibenarkan memasuki kamar yang dikawal polis.

Mahkamah Majistret Seremban bulan lepas telah melepaskan tanpa membebaskan Azizan dari pertuduhan mencederakan muridnya setelah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan.

Lihat Komen