malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi: Formula pembahagian kerusi elak PM terlalu berkuasa
ADS

Formula pembahagian kerusi di Semenanjung Malaysia yang digunakan Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah bertujuan mengelakkan seorang perdana menteri menjadi terlalu berkuasa, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata, jika HARAPAN berjaya membentuk kerajaan, pembahagian kerusi yang saksama menyebabkan perdana menteri memerlukan sokongan keempat-empat parti komponen dalam pembuatan dasar, jika enggan berdepan risiko pentadbirannya digulingkan.

"Jika kita menang, tidak akan ada lagi perdana menteri yang sekuat Tun Dr Mahathir Mohamad (seperti dulu) atau Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Ini belum termasuk kesemua reformasi institusi yang akan dilakukan," kata anggota parlimen Pandan itu kepada Malaysiakini.

Justeru, katanya lagi, rundingan kerusi HARAPAN lebih utama berbanding soal calon perdana menteri.

Dua perkara itu - pembahagian kerusi dan calon perdana menteri - dimuktamadkan dalam mesyuarat HARAPAN Sabtu lalu dan diumumkan pada konvensyen sehari kemudian.

Dalam pertemuan itu, HARAPAN bersetuju yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding di 52 kerusi Parlimen, PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27).

Bagi kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, ia akan dibincangkan oleh kepimpinan HARAPAN negeri dan perlu mengambil kira parti pembangkang tempatan.

Rafizi berkata lagi, berdasarkan pembahagian kerusi, perdana menteri HARAPAN tidak akan dapat mentadbir secara kuku besi kerana tiada kuasa untuk berbuat demikian.

"Jika BERSATU menang 40 kerusi sekalipun, ini bermakna Umno hanya memenangi 40 kerusi. Jadi, ia lebih sama rata di Parlimen.

"Kerusi PKR dan DAP juga lebih kurang sama. Jadi sesiapa yang menjadi perdana menteri perlu mengekalkan sokongan walaupun daripada kumpulan (parti) paling kecil," katanya.

BERSATU akan bertembung dengan Umno di sejumlah besar 52 kerusi yang akan ditandinginya.

PKR lepaskan 8 kerusi

Rafizi berkata, ketika rundingan mereka mempertimbang pelbagai perkara termasuk permintaan BERSATU untuk diperuntukkan bilangan kerusi paling banyak di semenanjung.

Malah, katanya lagi, BERSATU juga meminta untuk diberikan lebih banyak kerusi daripada jumlah keseluruhan kerusi DAP.

"Kami akhirnya memutuskan yang kami perlu mulakan dengan jumlah terlebih dahulu. Selepa setuju dengan angka tersebut, kami pilih kerusi mana yang sesuai untuk parti mana.

"Angka 52, 51, 35 dan 27 dipersetujui terlebih dulu," katanya sambil menambah BERSATU pada asalnya meminta 80 kerusi."

Beliau berkata, peringkat akhir rundingan pula menumpukan soal 20 kerusi marginal (yang menang atau kalah dengan perbezaan undi kecil), yang mana 17 daripadanya boleh dituntut PKR.

Bagi pihak PKR, katanya, partinya telah menyerahkan lapan daripada 17 kerusi itu, berdasarkan formula kerusi majoriti Melayu yang sebelum ini ditandingi parti itu dan PAS diserahkan kepada BERSATU dan AMANAH.

Selepas menyerahkan kerusi itu, katanya lagi, rundingan terhenti seketika apabila PKR hanya tinggal sembilan kerusi campuran separa-bandar, termasuk dua di Kuala Lumpur iaitu Setiawangsa dan Titiwangsa.

BERSATU mahu bertanding di sekurang-kurangnya satu daripada dua kerusi tersebut, katanya lagi.

"PKR sentiasa bertegas kami mempunyai peluang terbaik untuk menang di (sembilan) kerusi itu.

"Perbincangan berlarutan sehinggalah 48 jam terakhir," katanya lagi.

Bagaimanapun, Rafizi berkata ketetapan tealh dibuat yang BERSATU dan AMANAH kekal di kerusi majoriti Melayu, maka PKR tidak dapat menyerahkan Setiawangsa memandangkan ia kerusi campuran.

Maka AMANAH yang perlu menyerahkan Titiwangsa - kerusi majoriti Melayu - kepada BERSATU, menyebabkan parti serpihan PAS itu tidak bertanding langsung di Kuala Lumpur, katanya lagi.

"Dengan pengagihan kerusi sekarang, jelas tiada satu parti pun yang dapat menguasai parti lain. Jika ada salah satu parti yang keluar, AMANAH sekalipun, kerajaan akan terbubar," katanya lagi.

 

Lihat Komen