malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Husam boleh terus guna Wisma Tok Guru
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 9:10 PM
Dikemaskini: 3:16 PM
ADS

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa hari ini berjaya mendapatkan perintah injuksi 'Erinford' daripada Mahkamah Tinggi Kota Bharu berikutan suatu saman yang difailkan terhadap beliau bagi mengosongkan sebidang tanah yang di atasnya beliau bina Wisma Tok Guru, sebuah pusat khidmat masyarakat.

Peguam beliau dan Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin yang mendedahkan perkara ini berkata dengan perintah yang diberikan pesuruhjaya kehakiman Datuk Ahmad Bache maka keadaan kekal seperti biasa sehinggalah rayuan Husam didengar mahkamah.

"Maknanya dalam kes ini, keadaan sebelum parti suci dakwa beli tanah tu guna nama Setiausaha Kerja PAS Kelantan (Mohd Yasin Yusof)," kata beliau dalam suatu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Husam gagal mendapatkan perintah injuksi mahkamah pada November lalu, berikutan diminta mengosongkan bidang tanah tersebut selepas beliau memfailkan saman terhadap PAS.

Selain digunakan sebagai pusat khidmat masyarakat Husam, Wisma Tok Guru juga menjadi ibu pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, parti yang beliau anggotai tahun lalu selepas dipecat dari PAS.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Husam memberitahu beliau mengalu-alukan jika PAS mahu menggunakan bangunan yang dibina beliau itu untuk mengadakan solat hajat.

"Mereka boleh adakan solat hajat 2, 3 atau 4 dan saya mengalu-alukan mereka berbuat demikian. Tetapi mereka (PAS) perlu berhenti kacau program kami," kata beliau.

Merujuk fakta kes, Hanipa berkata tanah itu dimiliki bekas ADUN Salor dari Umno Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang telah menyertai Semangat 46 dan kemudiannya PAS sebelum meinggal dunia.

Hanipa berkata Ahmad Rosli membeli tanah tersebut dan meletakkan di bawah nama isterinya.

"Arwah benarkan Datuk Husam duduk dan guna tanah itu sebagai Pejabat Adun Salor. Husam telah bina bangunan 3 tingkat dan ada dewan sekali di atas tanah itu, guna duit dia sendiri dan dinamakan bangunan itu sebagai Wisma Tok Guru.

"Bila Datuk Husam dipecat parti suci (PAS) dan masuk Amanah, Datuk Husam tanya dengan arwah tentang status kedudukan tanah dan bangunan itu. Adakah beliau boleh terus duduk atas tanah itu - jadi/ gunakan sebagai Pejabat Adun Salor.

"Arwah kata tak ada masalah sebab tanah itu dia beli atas kapasiti peribadi dia - tak ada kena mengena dengan parti suci," kata Hanipa lagi.

Menurut Hanipa lagi Husam meminta perkara itu dirasmikan dan Ahmad Rosli menghantar sepucuk surat memberi kebenaran.

"Datuk Husam lalu minta surat hitam putih daripada arwah. Arwah bagi surat kebenaran itu pada Datuk Husam.

"Surat itu atas nama isteri arwah sebab tanah itu didaftarkan atas nama isteri dia. Surat kebenaran itu ada tertulis nama dan tandatangan saksi," kata Hanipa.

Husam diusir

Bagaimanapun, Ahmad Rosli meninggal dunia dan tanah itu dijual isterinya kepada Mohd Yasin, seorang anggota PAS dengan harga RM700,000.

Selepas penjualan itu dan geran tanah ditukar, Husam diusir keluar dan beliau memfailkan permohonan saman pemula terhadap PAS meminta perintah mahkamah bahawa beliau berhak menduduki tanah itu berlandaskan konsep ekuiti pemilikan kerana beliau tidak menduduki tanah itu secara haram, sebaliknya mendapat kebenaran pemilik.

Hanipa berkata memandangkan kes ini belum dibicarakan di mahkamah maka beliau memohon perintah injuksi interim sehinggalah kes ini diputuskan. Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan perkara itu dan rayuan dibuat pihak Husam.

Sementara proses rayuan ini berlangsung, Husam juga memohon perintah injuksi Erinford yang diberikan Mahkamah Tinggi hari ini, tambah Hanipa.

Perintah injuksi Erinford bermaksud suatu perintah mahkamah sementara rayuan dibuat terhadap keputusan yang mengenepikan perintah injuksi terdahulu yang telah diberikan, dalam erti kata lain, keadaan masih kekal status quo.

Pada masa yang sama, Mohd Yasin turut memfailkan saman terhadap Husam meminta beliau mengosongkan premis tersebut.

Lihat Komen