malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah benar pengundi Segamat cabar SPR
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 6:43 PM
Dikemaskini: 10:46 AM
ADS

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan 48 pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung penggantungan kemasukan 949 nama ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata hakim Datin Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal yang dibangkitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan terdapat keadaan istimewa untuk mahkamah mendengar kes berkenaan.

Shamsul yang mewakili SPR berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar hakim itu yang turut dihadiri peguam Michelle Ng yang bertindak bagi pihak 48 pemohon terbabit.

Katanya mahkamah menetapkan 16 Januari untuk pengurusan kes Abdul Wahab Hassan dan 47 pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat iaitu pemohon dalam kes itu yang memfailkan permohonan tersebut pada 14 Disember 2017 dengan menamakan SPR dan Pendaftar Pemilih Negeri Johor Shafie Taib sebagai responden pertama dan kedua.

Tidak berperlembagaan

Mereka memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan/ atau pengekalan 949 nama ke dalam RDPT bersama dengan sebarang tindakan yang timbul daripada dan/atau mengesahkan keputusan tersebut oleh responden dan/ atau ejen dan/atau pekerja dan/ atau pegawai mereka.

Mereka juga memohon suatu deklarasi bahawa kemasukan dan/ atau pengekalan 949 nama ke dalam RDPT tidak berperlembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa kemasukan dan/ atau pengekalan nama-nama Orang Dibantah dalam RDPT adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak seimbang.

 

-Bernama

Lihat Komen