malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRU 14: Apa strategi pilihan HARAPAN di Johor?
ADS

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Pakatan Rakyat menguburkan mitos bahawa Johor adalah negeri "deposit tetap" untuk BN.

Kini penggantinya, Pakatan Harapan (HARAPAN) ingin menggunakan momentum itu bagi menghadapi PRU ke-14.

Menerusi serangan strategik di kubu kuat BN itu, pembangkang pada PRU ke-13 berjaya merampas empat lagi kerusi parlimen di samping mengekalkan satu kerusi parlimen yang disandangnya.

Empat kerusi itu dimenangi DAP. Kejayaan itu berkat strategi berisiko tinggi mereka iaitu meletakkan pemimpin utama parti di kerusi yang dipegang BN.

Di sebalik kejayaan DAP, strategi itu agak kurang digemari PKR, yang berhadapan tugas lebih sukar bertanding di kawasan luar bandar dengan jumlah pengundi Cina yang kecil.

Ketika itu, pengundi Cina merupakan penyumbang utama kepada undi Pakatan.

PKR yakin kunci utama kemenangan tidak semestinya meletakkan tokoh utama, sebaliknya pemimpin yang mempunyai hubungan yang kuat dengan masyarakat setempat.

Strategi itulah yang membolehkan calon PKR di Parlimen Batu Pahat, Mohd Idris Jusi, menewaskan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi.

Taburan pengundi di Batu Pahat adalah bercampur, dengan Melayu sebagai majoriti. Idris lahir dan membesar di sana.

Untuk PRU ke-14, objektif utama HARAPAN adalah untuk menang di enam kerusi Parlimen di Johor Bahru raya (greater Johor Bahru), iaitu Johor Bahru; Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, Gelang Patah dan Kulai.

Dua daripadanya - Gelang Patah dan Kulai - sudah pun dipegang mereka menerusi dua pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Teo Nie Ching.

Pada PRU lalu, PKR mencalonkan pemimpin tempatan di Tebrau dan Pasir Gudang, dan pemimpin tinggi parti di Johor Bahru. Ketiga-tiganya tewas.

Untuk berlaku adil, PKR hanya kalah tipis di Tebrau dan Pasir Gudang - perbezaan 935 dan 1,767 undi. Di Johor Bahru pula, ia berhadapan tugas sukar memandangkan BN menang dengan majoriti 25,000 undi pada PRU sebelumnya, majoriti terbesar antara enam kawasan parlimen Johor Bahru raya.

Walaupun kesemua enam kerusi Parlimen itu dikira sebagai kawasan campuran, DAP bertanding di kawasan majoriti Cina manakala PKR di kawasan majoriti Melayu.

Parlimen Pulai ditandingi Salahuddin Ayub di bawah tiket PAS.

Anak jati Johor itu juga dikira sebagai tokoh peringkat nasional. Namun beliau bukanlah anak Pulai.

Salahuddin membesar di Pontian - 40km dari Pulai - dan sebahagian besar kerjaya politiknya adalah di Kelantan.

Walaupun gagal menewaskan penyandang, beliau berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 20,449 kepada 3,226. Pada PRU ke-12, majoriti yang dimenangi BN di Pulai adalah yang kedua tertinggi di Johor Bahru raya, selepas Johor Bahru.

Strategi yang mana?

Perbezaan pandangan antara DAP dan PKR berhubung strategi - sama ada mencalonkan tokoh utama parti atau pemimpin tempatan - berkekalan, dan malah mencetuskan pergeseran.

Pergeseran itu diparahkan lagi apabila pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar PKR menyerahkan satu kerusi yang ditandinginya di Johor Bahru raya kepada DAP.

Malaysiakini menghubungi sejumlah pemimpin DAP dan PKR Johor. Mereka enggan mendedahkan nama, kerana tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan yang sedia tegang ekoran perbezaan strategi itu.

Seorang sumber dalaman DAP berkata, parti itu mahu satu lagi kerusi dari PKR agar dapat meletakkan seorang lagi tokoh parti di Johor Bahru raya.

Katanya, PKR dianggap lemah kerana tiada tokoh utama di sana, dan kedegilannya untuk menggunakan strategi "pemimpin tempatan" yang dilihat tidak berkesan.

Seorang sumber DAP Johor pula berkata partinya mahu menggunakan serangan tiga serangkai, iaitu Lim mengetuai serangan DAP, Salahuddin untuk AMANAH, dan seorang lagi tokoh utama PKR.

Tetapi PKR tidak terbuka dengan strategi itu, katanya lagi.

"Untuk menguasai Johor Bahru raya, kita kekurangan calon yang ada 'X-factor'. Jika anda tidak boleh menang di sini, jangan bermimpi untuk ke Putrajaya.

"Pemimpin itu mesti boleh bekerja dengan Lim dan Salahuddin," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi pihak BN pula, Johor Bahru raya "dikawal" tiga pemimpin utama Umno, iaitu Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad (Johor Bahru), Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai) dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin (gambar).

Walaupun bukan anggota parlimen, pangkalan politik Khaled adalah di Pasir Gudang, yang mana beliau menjadi anggota parlimen di sana selama tiga penggal (2004 hingga 2013).

Pada PRU lalu, beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, yang terletak dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang.

AMANAH juga cuba membawa strategi sama kepada PKR, dengan mencadangkan agar anggota Parlimen Shah Alam Khalid SAmad untuk bertanding di Johor Bahru melawan abangnya.

Namun, Khalid kemudian menyatakan niatnya untuk kekal di Shah Alam.

Sumber DAP merungut berkenaan keengganan PKR menggunakan strategi berisiko tinggi.

Beliau berkata, rancangan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengetuai serangan PKR di Johor pada PRU lalu diabaikan.

Beliau yakin yang pemimpin terkenal seperti Nurul Izzah akan memberikan PKR lonjakan terakhir yang diperlukan pada PRU lalu.

Sumber dalaman PKR Johor mengesahkan usaha untuk menggesa pihaknya menggunakan strategi mencalonkan tokoh utama parti, tetapi bertegas strategi yang berjaya di kawasan majoriti Cina yang ditandingi DAP tidak semestinya turut berjaya di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi PKR.

Kawasan berbeza

Beliau menegaskan pengundi di kawasan itu mahukan calon yang mereka sudah biasa, berbanding calon payung terjun di kalangan tokoh parti.

"Johor Bahru adalah pusat bandar, tetapi Johor Bahru raya, terutama kawasan Melayu, adalah separa bandar," katanya.

"Pasir Gudang adalah kawasan kelas pekerja dengan banyak kilang. Tebrau pula memiliki demografi yang pelbagai, sebahagiannya adalah kawasan kelas pertengahan, manakala ada juga kawasan Felda dan kampung.

"Pengundi Melayu tempatan lebih menyokong calon yang bekerja di lapangan sekian lama," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau membangkitkan tindakan PKR meletakkan "tokoh", iaitu bekas panglima Angkatan Tentera Darat Tan Sri Hashim Hussein (gambar) di Johor Bahru pada PRU lalu.

"Orang tempatan tidak begitu kenal Hashim, dan beliau kalah dengan perbezaan 10,134 undi.

"HARAPAN tidak boleh mengulangi strategi sama," katanya.

Sejak itu, PKR melantik Pengerusi Johor Hassan Karim, Ketua Komunikasi Negeri Akmal Nasir, dan Ketua Cabang Tebrau Steven Choong sebagai penyelaras di Parlimen Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau.

Mereka dijangka menjadi calon parti itu di tiga kawasan parlimen itu pada PRU akan datang. Selama bertahun, mereka bertiga bekerja di kawasan tersebut walaupun dengan kekalahan PKR.


 

Lihat Komen