malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar sah bebas 8 Jun ini
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 5:40 PM
Dikemaskini: 9:48 AM
ADS

Penjara Malaysia hari ini mengesahkan yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tamat menjalani hukuman penjara lima tahunnya pada 10 Jun 2018.

Namun ketua umum PKR itu akan dibebaskan dua hari lebih awal, iaitu 8 Jun 2018, memandangkan tarikh 10 Jun jatuh pada hari Ahad, berdasarkan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan penjara 2000, kata Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, selepas isu tarikh pembebasan itu diperkatakan di media baru-baru ini.

Zulkifli memaklumkan tarikh tersebut berdasarkan ketetapan Seksyen 44 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43(1)(a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000, yang memberikan satu per tiga remitan (peringanan hukuman) kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman penjara lebih sebulan.

"Pengiraan hukuman yang dibuat mendapati tarikh pembebasan Anwar adalah 10 Jun 2018.

"Oleh kerana 10 Jun adalah hari Ahad dan 9 Jun adalah Sabtu, beliau boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018, iaitu pada Jumaat," katanya.

Katanya lagi, setakat ini, Jabatan Penjara dan Penjara Sungai Buloh tidak menerima sebarang waran atau perintah daripada pihak berkuasa yang mengarahkan hukuman terhadap Anwar dipinda.

"Tarikh juga tiada sebarang kaitan dengan pelaksanaan sistem parol atau perintah dari Lembaga Pengampuna," katanya lagi.

Lihat Komen