malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hormat keputusan yang dicapai, kata Muhyiddin
ADS

Susulan tindakan Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor memboikot konvensyen hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mereka perlu menghormati keputusan yang telah dicapai gabungan itu.

"Ini telah dibincang di peringkat tertinggi, pimpinan tertinggi menyertai rundingan (kerusi parlimen) dan semua telah bersetuju," katanya ketika ditemui di Konvensyen HARAPAN di Shah Alam, hari ini.

Beliau maklum yang tidak semua gembira dengan banyak perkara yang dicapai dalam rundingan itu.

"Tetapi, sebaik sahaja peringkat tertinggi membuat keputusan, anda perlu menghormatinya," katanya sambil berkata pemimpin AMANAH Johor perlu membawa perkara itu di peringkat parti mereka.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu bagaimanapun tidak mengulas sama ada kerusi yang diperuntukkan kepada AMANAH terlalu sedikit, atau sama ada parti lain mendapat terlalu banyak.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula enggan mengulas perkara itu.

AMANAH Johor dilaporkan tidak berpuas hati selepas parti itu hanya diperuntukkan dua kerusi Parlimen untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun meminta lima kerusi.

"Jadi kami rasa tak perlu datang. Semua pemimpin AMANAH Johor tak datang," kata Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub (gambar) berkata AMANAH Johor berhak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

"Berilah mereka peluang untuk tunjukkan rasa tidak puas hati dengan bilangan kerusi (yang diperuntukkan).

"Di peringkat kebangsaan pula, kita perlu melihat gambaran besar demi HARAPAN," katanya kepada pemberita.

Salahuddin yang juga dari Johor berkata lagi, parti itu akan berunding dengan parti komponen lain untuk mendapat lebih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Apa yang berlaku di Johor, saya merasakan jumlahnya terlalu kecil.

"Perbincangan belum muktamad. Kita akan terus (berunding) untuk kerusi DUN. Kami akan selesaikan di peringkat pusat," katanya lagi.

Ketika ditanya berhubung kesan buruk ekoran boikot tersebut, beliau menyangkalnya dan berkata ia tidak akan menjejaskan HARAPAN.

Cuma tak datang

Sementara itu, Setiausaha Agong AMANAH Anuar Tahir menafikan AMANAH Johor memboikot konvensyen hari ini dengan berkata mereka "hanya tidak hadir".

"Ada yang kata mereka tidak gembira, tetapi adakalanya ketika rundingan kerusi, anda tidak dapat apa yang anda mahukan," katanya sambil menambah ia adalah masalah yang boleh diselesaikan.

Katanya lagi, jawatankuasa pusat akan berbincang dengan AMANAH Johor dan juga negeri lain berhubung perkara itu.

Rasa tidak puas hati turut dirasakan beberapa pemimpin AMANAH Perak, dengan pengerusinya Asmuni Awi turut memboikot konvensyen.

"Saya sendiri tak datang kerana (isu) pembahagian kerusi, tetapi yang lain (dari AMANAH Perak) datang," katanya kepada Malaysiakini.
 

Lihat Komen