malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR: Cuaca jadi faktor penentu tarikh PRU
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 10:16 AM
Dikemaskini: 3:06 AM
ADS

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata bila-bila masapun adalah masa yang sesuai untuk pilihan raya kerana SPR bertanggungjawab mengendalikan pilihanraya dengan telus, lancar dan aman.

"Namun begitu beberapa perkara perlu menjadi keutamaan pertimbangan termasuk keadaan cuaca," kata Mohd Hashim dalam wawancara khas Mingguan Malaysia hari ini.

Hashim berkata SPR telah memulakan persiapan PRU-14 sejak dua tahun yang lalu, manakala faktor cuaca menyumbang kepada penentuan tarikh pilihan raya.

"Cuaca akan menjadi faktor penentu bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dengan lancar dan mempengaruhi jumlah pengundi keluar mengundi.

"Dalam menjalankan persiapan ini SPR turut mengambil perhatian dalam soal bencana banjir sekiranya ia berlaku semasa pilihanraya," kata beliau lagi.

Malaysiakini pada Disember tahun lalu melaporkan gesaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yang mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan tarikh pengundian selewat-lewatnya pada hari pertama Januari tahun 2018.

Katanya, pengumuman awal tarikh pembubaran dan tarikh mengundi penting supaya rakyat dapat membuat persediaan dan tidak terlepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Najib Razak tidak perlu takut menghadapi 'hari perhitungan' dari rakyat dan jangan sengaja mahu menyusahkan rakyat," kata beliau.

Mahfuz berkata, sistem pilihan raya di Malaysia sepatutnya lebih berani dan demokratik dengan menjadualkan lebih awal tarikh pembubaran Parlimen.

PRU-14 mesti dilaksanakan pada tahun 2018 memandangkan Dewan Rakyat akan terbubar dengan sendiri pada 24 Jun 2018.

 

Lihat Komen