malaysiakini logo
story-image
ADS

Penampilan dan imej yang dibawa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ternyata masih belum cukup untuk memimpin generasi muda hari ini.

Aktivis mahasiswa Anis Syafiqah Md Yusof berkata, Khairy yang sinonim dengan gelaran “Tall, Dark and Handsome” itu mungkin menang dari aspek tersebut, namun ketinggalan dalam menjuarai suara anak muda.

“Tak perlulah membandingkan Pemuda HARAPAN dengan Pemuda Umno yang hari ini bergantung hayat pada sosok yang bernama Khairy Jamaluddin.

“Ya, setakat hari ini beliau mungkin masih menang menerusi aspek ‘tall, dark, handsome’ tapi beliau jauh ketinggalan dalam soal menjuarai anak muda.

“Bagi saya, Khairy Jamaluddin tak lebih dari sekadar ilusi yang memperdaya imaginasi anak muda.

"Seperti trend drama Korea yang mendemamkan rakyat Malaysia sehingga lenggok cakap seperti Korea, gaya rambut Korea, gaya pakai seperti Korea tetapi sarapannya masih nasi lemak sambal bilis,” kata Anis ketika berucap di Konvensyen Pemuda HARAPAN di Subang, Selangor, malam ini.

Menurut Anis, walaupun Khairy membina imej yang disenangi golongan muda, banyak isu membabitkan golongan itu tidak dapat ditanganinya.

“Masalah PTPTN yang menghantui graduan masih tidak selesai, masalah peluang pekerjaan yang semakin tirus masih tidak selesai, masalah harga rumah yang melambung tinggi masih tidak selesai,” katanya di hadapan kira-kira 400 perwakilan.

Parti politik ketepi NGO

Sementara itu, Anis mengakui bahawa parti politik gemar meminggirkan NGO dan gerakan masyarakat sivil di negara ini .

Kenyataan itu dibuat selepas Ketua Umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu mengingatkan gabungan pakatan pembangkang itu agar tidak mengenepikan NGO dan aktivis masyarakat.

"Di luar sana ramai gerakan masyarakat sivil aktivis dan pihak berkepentingan yang lebih daripada bersedia untuk memberi sumbangan dalam gerakan perubahan ini.

"Cuma kadang-kadang parti politik gemar membiarkan kami menjadi penonton segala keputusan dan tindakan politik sedangkan implikasi kepada tindakan tersebut akan melibatkan semua pihak," kata Anis.

Menurut Anis, gerakan sivil hari ini tidak boleh menyembunyikan niat mereka yang mahukan kerajaan yang ada pada hari ini ditumbangkan.

“Bukan kerana mereka partisan kepada pembangkang, tetapi itu adalah resolusi hasil kerja mereka yang bergelumang dengan rakyat sehari-harian.

“Bukankah ini satu peluang untuk Pemuda HARAPAN menggarapkan kekuatan semua pihak dalam merealisasikan perubahan,” katanya.

 

Lihat Komen