malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skandal Felda: SPRM sedia ambil tindakan jika ada rasuah
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia mengambil tindakan sewajarnya sekiranya siasatan polis terhadap skandal tanah Felda di Jalan Semarak mendedahkan sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberitahu pemberita bahawa suruhanjaya itu sebelum ini telah menyerahkan kes itu kepada polis untuk disiasat.

"Pihak Felda telah buat laporan polis dan sedang menyiasat. Jadi kita serah kepada pihak polis untuk siasat.

"Sekiranya kemudian kita dapati ada isu-isu rasuah, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," kata Dzulkifli pada sidang akhbar di Wisma MCA di Kuala Lumpur selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar anti-rasuah SPRM dengan wakil dari kampung baru Cina di seluruh negara.

Dzulkifli berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berhubung kes itu.

Bulan lalu media melaporkan Felda berisiko kehilangan empat lot tanah miliknya di Jalan Semarak yang bernilai kira-kira RM270 juta, selepas hak miliknya dipindahkan kepada pemaju projek KL Vertical City (KLVC) melalui "urus niaga yang meragukan" pada tahun 2015.

Dalam sidang akhbar yang diadakan tidak lama selepas itu, pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata laporan polis telah dibuat terhadap pemaju berkenaan dalam usaha untuk mendapatkan balik  tanah tersebut.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata SPRM masih belum menerima sebarang laporan khusus mengenai skandal tanah tersebut.

"Tetapi kalau sekiranya semasa berjalan siasatan tersebut ada ditemui isu-isu rasuah atau salahguna kuasa yang berada bawah bidang kuasa SPRM, kita tak ada masalah untuk ambil tindakan," katanya.

'Itu saya tak mahu komen'

Sementara itu, Dzulkifli enggan mengulas apabila ditanya sama ada beliau dipanggil oleh polis berhubung dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang di luar negara.

"Itu saya tidak mahu komen," katanya.

Pada 6 Disember lalu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan terhadap Dzulkifli di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menjalinkan hubungan dengan wanita yang sudah berkahwin, dijangka selesai tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Fuzi pada masa itu enggan mengulas sama ada Dzulkifli telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sementara itu dalam perkembangan yang lain, Dzulkifli mengesahkan SPRM masih mencari peguam Michael Persius Ubu untuk membantu siasatan berhubung pembelian ladang kelapa sawit di Tongod, Sabah bernilai kira-kira RM155 juta.

"Kita tengah mengesan di mana beliau berada sama ada beliau masih berada di dalam negara ataupun berada di luar negata

"Kami tidak tahu di mana peguam itu, kami tidak dihubungi olehnya," kata Dzulkifli, ketika ditanya sama ada akan ada lebih banyak tangkapan melibatkan pemimpin Parti Warisan Sabah, berikutan penahanan naib presidennya Peter Anthony semalam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen