malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AS gantung bantuan keselamatan kepada Pakistan
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

GLOBAL Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada hari Khamis mengumumkan bahawa negara itu telah menggantung bantuan keselamatannya kepada Pakistan, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Jabatan Negara AS Heather Nauert, dalam satu taklimat media, berkata penggantungan peralatan ketenteraan atau pemindahan dana berkaitan keselamatan akan diteruskan "sehingga Kerajaan Pakistan mengambil tindakan tegas terhadap beberapa kumpulan, termasuk Taliban Afghanistan dan Rangkaian Haqqani."

Washington menuduh semua kumpulan itu "telah menjejaskan kestabilan rantau ini dan turut menyasarkan kakitangan AS" di Pakistan "meskipun terdapat penglibatan berterusan di peringkat tinggi oleh pentadbiran ini dengan Kerajaan Pakistan."

Selain peralatan ketenteraan dan pemindahan dana berkaitan keselamatan, Dana Sokongan Gabungan AS-Pakistan, yang digunakan untuk membayar pampasan kepada Pakistan bagi kos operasi antikeganasan, akan turut digantung.

Bagaimanapun, beliau berkata "mungkin terdapat beberapa pengecualian berdasarkan kes jika mereka bertekad untuk menjadi kritikal terhadap kepentingan keselamatan negara," dan penggantungan itu tidak akan kekal "selamanya."

"Pakistan memiliki keupayaan untuk mendapat wang ini kembali, jika mereka mahu, pada masa depan, namun mereka perlu mengambil tindakan tegas," katanya.

"Mereka tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memerangi keganasan... kami telah menjelaskan kepada Pakistan apa yang mereka perlu lakukan," katanya.

Beliau juga berkata meskipun jumlah sebenar bantuan itu belum ditetapkan, jumlah keseluruhan ialah lebih AS$255 bilion.

Presiden AS Donald Trump dan Rumah Putih telah mengeluarkan kenyataan keras terhadap Pakistan sejak awal 2018, dan menuduh Islamabad tidak melakukan usaha sewajarnya untuk menyokong inisiatif anti-keganasan AS di Afghanistan sebaliknya menyediakan "tempat perlindungan yang selamat" kepada pengganas yang diburu Amerika Syarikat.

Hubungan dua hala telah menjadi dingin sejak Washington melancarkan strategi Asia Selatan yang baharu dan menggantung bantuan ketenteraannya sebanyak AS$255 bilion kepada negara Asia itu.

Sebagai tindak balas, Pakistan memanggil Duta AS ke Pakistan pada lewat Isnin untuk mengemukakan bantahan selain mendakwa Pakistan telah mengambil tindakan terhadap semua kumpulan militan tanpa sebarang diskriminasi dan pengorbanannya itu tidak diendahkan.

- Bernama

Lihat Komen