malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan naib presiden WARISAN sekali lagi
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini sekali lagi menahan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony, kali ini berhubung urusniaga pembelian tanah ladang kelapa sawit Risda bernilai RM155 juta di daerah Tongod, Sabah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

"(Peter) ditahan ketika beliau dibawa ke rumahnya," kata Azam (gambar).

Anthony dijangka akan dibawa ke mahkamah Kota Kinabalu esok untuk perintah reman.

Pada jam 10.25 pagi tadi, beliau tiba di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu bersama-sama peguamnya, Martin Tommy dan Loretto Padua Jr.

Beliau meninggalkan pejabat itu dengan bergari, tiga jam kemudian.

Diiringi pegawai SPRM, Anthony memberitahu pemberita yang mereka akan ke rumahnya di Luyang, untuk mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Pada 3 Januari lalu, SPRM mengeluarkan arahan agar beliau dan peguamnnya Michael Persius untuk tampil menyerah diri dalam masa 48 jam.

Naib Presiden WARISAN, Junz Wong mendakwa SPRM cuba mempolitikkan siasatannya kerana sepatutnya menghubungi Peter terlebih dahulu sebelum mengumumkan perkara itu di media.

Wong semalam berkata Peter masih di Sabah dan berada di Keningau, kira-kira 100km dari Kota Kinabalu.

Beliau juga menegaskan bahawa Peter mengikut syarat ikat jamin yang menyatakan dia mesti melaporkan diri kepada SPRM sekali setiap dua bulan.

Kali terakhir Peter melaporkan diri kepada SPRM ialah pada 27 Nov lalu, bermakna beliau mempunyai masa sehingga 27 Januari ini sebelum melaporkan diri sekali lagi.

SPRM menahan Peter pada Oktober lalu setelah mendapati beliau merupakan penerima projek daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang sebelum ini diterajui Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa kontrak projek itu diperoleh menerusi prosedur yang betul.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Shafie, yang juga naib presiden Umno dari kabinet pada tahun 2015 kerana kritikal terhadap skandal 1MDB.

Beliau kemudian keluar Umno dan membentuk parti pembangkang, WARISAN di Sabah.
 

Lihat Komen