malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan TN50 ciplak Wawasan 2020 remeh - KJ
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 5:27 PM
Dikemaskini: 10:10 AM
ADS

Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) 'menciplak' Wawasan 2020 mendapat bidasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata beliau sedih dan kesal mantan perdana menteri menolak hasrat kolektif golongan muda Malaysia.

Menurut beliau, TN50 adalah suara golongan muda Malaysia bagi masa depan mereka.

"Jutaan orang telah berkongsi harapan, impian dan aspirasi bagi membina masa depan bersama.

"Tetapi bagi kamu semuanya tentang legasi peribadi. Ia disempitkan menjadi Wawasan 2020 lawan TN50. Betapa sedihnya dan betapa remeh-temehnya (kenyataan ini).

"Saya telah menjelaskan banyak kali dengan jelas betapa kedua-dua (gagasan) merupakan naratif utama kisah rakyat Malaysia. Cerita kejayaan dan pembangunan. Tetapi untuk kamu, semuanya tentang legasi kamu. Saya, diri saya, Mahathir," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketua Pemuda Umno itu berharap generasi akan datang Malaysia tidak perlu menyimpan dendam kesumat.

"Hanya dengan semangat kemurahan hati kita akan menjadi peradaban yang besar," tambahnya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dilaporkan media tempatan mendakwa TN50 merupakan pengakuan kerajaan atas kegagalan menjadikan Wawasan 2020 suatu kenyataan.

Pengerusi BERSATU itu berkata pengenalan TN50 secara tidak langsung menunjukkan kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mengalih perhatian umum di atas kegagalan mereka merealisasikan konsep Wawasan 2020 yang telah pun diperkenalkan sejak awal 90-an.

"Mereka (Barisan Nasional) cuba mengalih pandangan umum daripada Wawasan 2020 yang mana Najib tentu tahu dia tidak akan jadi perdana menteri masa itu. Itu sebabnya dia letakkan TN50 ini 30 tahun lebih daripada sekarang," kata Dr Mahathir kepada sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.


 

Lihat Komen