malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Najib jangan bantah permohonan perkenan Agong
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 11:24 AM
Dikemaskini: 3:37 AM
ADS

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan tidak membantah permohonan beliau untuk mengembalikan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum sesuatu akta diluluskan.

Anwar pada Selasa lalu memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu bagi mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang diluluskan tanpa perkenaan baginda.

"Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja telah menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara, yang memberi kuasa darurat kepada perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

"Namun kerajaan BN memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan RUU tersebut tanpa perkenan diraja," kata Anwar dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan liwat berkata, insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti perkenan diraja perlu dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesebuah rang undang-undang dijadikan akta.

"Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Oleh itu saya menggesa Datuk Seri Najib dan pihak kerajaan untuk mengarahkan para peguam kerajaan agar permohonan saya ini tidak dibantah di Mahkamah Persekutuan.

"Memandangkan kes ini bersifat kepentingan awam, saya menggesa agar pendengaran dapat diadakan secepat mungkin," tegasnya.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta perisytiharan bahawa Seksyen 12 Akta Perlembagaan 1983 (Pindaan), Seksyen 2 Akta Perlembagaan 1984 (Pindaan) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 adalah ultra vires atau bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerana parlimen tidak mempunyai hak untuk meluluskan pindaan itu.

Di samping itu, bekas pemimpin pembangkang tersebut juga memohon perisytiharan bahawa Akta MKN 2016 yang diluluskan dengan cara sedemikian diisytiharkan batal dan tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Beliau menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden tunggal dalam tindakan itu.

Lihat Komen