Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup bersumpah dengan al-Quran bahawa arahan untuk memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas bukan datang daripada beliau, ketika krisis kehakiman pada 1988.
Bercakap ketika sidang media sempena pelancaran program "Harapan Baru: Policy talks" di Putrajaya hari ini, beliau sekali lagi mendakwa peguam negara ketika itu menggunakan namanya untuk memecat Salleh bagi menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Tan Sri Abu Talib Othman adalah peguam negara pada 1980 hingga 1993. Yang di-Pertuan Agong pada masa itu pula Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
"Salleh dipecat bukan kerana saya. Untuk menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, peguam negara gunakan nama saya kononnya saya yang suruh. (Walhal) saya tak campur tangan langsung.
"Saya berani ke masjid dan junjung Quran bersumpah bahawa bukan saya yang suruh. Dia (peguam negara) sebut saya yang suruh...(tetapi) Yang di-Pertuan Agong yang arahkan," katanya.
Beliau berkata, ia berdasarkan surat yang ditulis Salleh kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu lain untuk mengadu berkenaan bunyi bising akibat kerja pengubahsuaian di kediaman peribadi Yang di-Pertuan Agong.
"Tetapi sekarang tentulah surat itu telah 'disembunyikan'," katanya lagi.
[Berita lanjut menyusul]