malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebanyak 352 mangsa banjir daripada 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi masih berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kawasan terjejas banjir di Mersing ialah Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Beliau berkata di Kota Tinggi, kawasan terjejas ialah Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu.

"Tujuh PPS dibuka di Mersing yang menempatkan 319 orang melibatkan 87 keluarga iaitu Balai Raya Taman Nakhoda, Sekolah Kebangsaan Air Papan, Sekolah Kebangsaan Tenglu, Balai Raya Serbaguna Kampung Benaung, Pertubuhan Peladang Kawasan Endau, Balai Raya Pengkalan Batu dan Balai Raya Kampung Air Merah," katanya dalam kenyataan.

Ayub berkata dua PPS dibuka di Kota Tinggi iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Ramunia dan Surau Sungai Buntu yang menempatkan 33 orang daripada lapan keluarga.

Beliau berkata di Mersing dilaporkan masih hujan di Mersing dan pemantauan sedang dilakukan pelbagai agensi yang terlibat di kedua-dua daerah termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Katanya hujan lebat sejak semalam itu turut menyebabkan berlakunya tanah runtuh berdekatan Pejabat Jabatan Taman Laut di Pulau Aur, Mersing.

Menurut Ayub, terdapat keretakan pada struktur bangunan utama pejabat itu selain kerosakan pada pagar, stor penguatkuasaan dan sistem tapisan air bersih, namun anggaran kerugian belum ditafsirkan.

"Setakat 7 malam ini, stesen meteorologi utama di negeri ini merekodkan jumlah hujan di Mersing sebanyak 41 mm berbanding 38 mm pada 4 petang tadi, Kluang sebanyak 2.6 mm berbanding 2.4 mm manakala Senai 12.8 mm berbanding 7.8 mm," katanya.


-Bernama

Lihat Komen