malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Sokong ikrar SPRM pastikan PRU14 bebas rasuah'
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 4:16 PM
Dikemaskini: 8:25 AM
ADS

Kerajaan perlu menjemput kumpulan pemantau pilihan raya antarabangsa untuk memerhati proses PRU14, kata bekas ahli parlimen PKR Yusmadi Yusoff.

Ikrar Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad bagi memastikan PRU14 bebas rasuah disambut baik bekas Penasihat Jawatankuasa Khas Parlimen untuk Anti Rasuah, Yusmadi Yusoff.

"Saya mengalu-alukan keputusan SPRM untuk bekerjasama dengan PDRM dan SPR bagi memastikan PRU14 bebas rasuah.

"Semasa dilantik oleh YDP Agong sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Anti Rasuah tersebut, saya sering membangkitkan isu peranan SPRM untuk memastikan Pengaruh negatif Wang di dalam Pilihanraya," kata bekas anggota parlimen Balik Pulau dari PKR itu dalam suatu kenyataan akhbar hari ini.

Yusmadi menyatakan persetujuannya dengan Zulkifli kerana proses pilihanraya yang bertanggungjawab memilih calon-calon sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Pemantau antarabangsa

Yusmadi, juga seorang peguam turut mencadangkan kerajaan menjemput kumpulan pemantau pilihan raya antarabangsa untuk memerhati proses PRU14.

"Saya gembira isu ini diangkat oleh pimpinan SPRM sekarang.

"Bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan bebas saya mencadangkan agar pihak kerajaan menjemput Pemantau Pilihanraya Bebas Komanwel dan institusi-institusi wibawa di dalam hal ehwal pilihanraya seperti Carter Center untuk datang memantau," katanya yang pernah menjadi anggota pemantau Komanwel.

Pada Oktober tahun lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen Pemantau bagi mengawasi perjalanan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Selain BERSIH, ia turut disertai Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Pusat Komas serta beberapa NGO lain. Ia diumumkan melalui sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah berkata kempen Pemantau itu ialah sebuah inisiatif rakyat yang mahu mengekang penipuan serta kesalahan dalam PRU14.

Pemantau, katanya, akan mengawasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti-parti politik serta calon yang diturunkan pada pilihan raya umum akan datang.

PRU14 bakal berlangsung tahun ini, selewat-lewatnya pada Jun 2018.


 

Lihat Komen