malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perintah berkurung Esszone dilanjutkan sampai 7 Jan
ADS

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang hari ini dilanjutkan sehingga 17 Januari depan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Perintah berkurung berkenaan meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran, katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Ramli berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan tersebut diminta berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

"Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Ramli berkata perintah berkurung itu juga bertujuan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet serta nelayan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan di kawasan mereka.

Beliau berkata pelanjutan perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan kawasan Esszone.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung (pada waktu tidak dibenarkan)," katanya.


-Bernama

Lihat Komen