malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jika benar Najib ikut Kit Siang, buat juga RCI 1MDB, Felda'
Diterbitkan:  Jan 1, 2018 5:42 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Jika benar Datuk Seri Najib Razak mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) pada tahun 1990-an disebabkan desakan Lim Kit Siang, perdana menteri patut juga melakukan perkara sama bagi skandal 1MDB dan Felda, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, ini kerana bapanya itu berulangkali mendesak agar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB dan Felda sebelum ini.

"Beliau cuba mengheret Kit Siang. Cadangan itu dibuat lebih 20 tahun lalu. Kalau begitu kenapa ketika Kit Siang cadangkan agar ditubuhkan RCI untuk 1MDB, kenapa tidak ditubuhkan?

"Kenapa buat RCI 20 tahun (selepas skandal forex), kenapa tidak buat RCI untuk skandal yang ada sekarang seperti 1MDB atau Felda? Adakah kita kena tunggu 20 tahun lagi?" soalnya pada sidang media hari ini.

Dalam perutusan tahun barunya semalam, Najib berkata RCI tersebut yang bermula Ogos lalu dibuat sebagai maklum balas atas desakan ahli politik, termasuk Kit Siang.

Najib juga menyifatkan 2017 sebagai tahun kerajaan meningkatkan usaha penambahbaikan tadbir urus, termasuk menangani kesalahan yang dilakukan pentadbiran lalu.

Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP mengulas kenyataan Najib bagi pihak bapanya yang kini dirawat selepas menjalani pembedahan akibat kanser pada 27 Disember lalu.

Pembangkang sebelum ini mendakwa Najib cuba mengalihkan perhatian terhadap skandal IMDB dengan menubuhkan RCI tersebut dan menghalakan sasaran kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi perdana menteri ketika skandal itu berlaku.

Najib menafikan sebarang salah laku berkenaan 1MDB, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.

Felda pula sebelum ini berhadapan pelbagai dakwaan dan siasatan, dengan terbaru melibatkan penukaran hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kepada syarikat pemaju.

Guan Eng berkata lagi, Najib juga perlu dipertanggungjawab atas kerugian ditanggung negara akibat perdagangan Forex, seperti mana Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pegawai Bank Negara ketika itu Tan Sri Nor Mohamad Yakcop.

"Berdasarkan sistem Westminster (yang diamalkan Malaysia), ia merupakan keputusan bersama Kabinet. Selagi tidak meletakkan jawatan, anggota kabinet lain juga bertanggungjawab termasuk Najib," katanya lagi.

Laporan RCI Forex antara lain menyatakan Nor Mohamed bertanggungjawab terhadap urus niaga itu, manakala Mahathir dan Anwar bersubahat dengan Nor Mohamed dan menyembunyikan fakta kepada Kabinet.

Guan Eng mengingatkan agar tiada pihak cuba mengaitkan kritikannya terhadap Najib yang tidak menubuhkan RCI bagi menyiasat 1MDB dan Felda itu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana RCI perlu diusulkan oleh perdana menteri sendiri sebelum ia ditubuhkan, katanya lagi.

Lihat Komen