malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
S'wak usaha dapatkan lebih penerbangan langsung pada 2018
ADS

Sarawak sedang mencari peluang bersama AirAsia bagi mendapatkan lebih banyak penerbangan langsung untuk melonjakkan lagi industri pelancongan dalam negeri ini pada 2018.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata terdapat peningkatan ketara dalam jalinan pengangkutan udara terutamanya penerbangan langsung antarabangsa dengan Kuching yang baru-baru ini dihubungkan dengan Shenzen, China sementara Bintulu dengan Singapura oleh AirAsia.

“Kami juga sedang berusaha dengan AirAsia untuk meneroka lebih banyak peluang bagi membuka laluan penerbangan terutamanya ke utara Asia dan rantau ini,” kata beliau dalam ucapan pelancaran Tahun Melawat Miri 2018 (TMM2018) malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Abang Johari berkata Miri juga memperoleh penerbangan langsung antarabangsa menghubungkan Miri dan Pontianak Indonesia, bulan lepas, menerusi, Xpress Air yang berpangkalan di Indonesia.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) pada masa ini sedang bekerjasama dengan Royal Brunei Airlines untuk meletakkan Miri dan Mulu, sebagai destinasi persinggahan utama bagi penumpang dari laluan Melbourne ke London, katanya.

Untuk itu, beliau berkata STB sudah mengambil langkah awal dengan menerbangkan ejen pelancongan dari Melbourne ke Miri bagi mengenal dengan lebih dekat lagi Bandaraya Miri dan Mulu serta mendedahkan mereka dengan produk tempatan di kedua-dua destinasi itu.

Abang Johari berkata Miri mempunyai beberapa taman negara seperti Piasau Nature Reserves, Bukit Lambir, Niah, Loagan Bunut, Usun Apau dan Tapak Warisan Unesco Mulu.

Sementara itu Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata dalam majlis itu selain daripada taman negara, bandar raya itu juga mempunyai tarikan seperti telaga minyak pertama dalam negara, The Grand Old Lady dan Muzium Petronas di Bukit Canada.

“Kami ada Pusat Kraftangan Miri; Tamu Muhibbah yang menjual pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran eksotik; pusat makanan laut popular, Taman Selera; rumah api Marina Seahorse; Kuil Tua Pek Kong, rumah ibadat kaum Sikh dan Ladang Buaya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan Bandaraya Miri, Ernest Khiok Seng Goh berkata dalam majlis yang sama bahawa 30 acara telah dirancang untuk Miri pada 2018, antaranya Pasar Gong Xi Fa Chai dan Konvensyen Pensyair Asia Tenggara. -Bernama

Lihat Komen