malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR: Tahun baru, muafakat untuk perubahan
Diterbitkan:  Dec 31, 2017 9:28 PM
Dikemaskini: 4:17 PM
ADS

Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat tahun baru 2018 sebagai tahun penting bagi membuat perubahan serta berharap rakyat bakal mendapat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan tahun barunya berkata peluang yang datang pada 2018 tidak patut disia-siakan.

"2018 hadir memberikan peluang kepada kita semua untuk membuat perubahan. Peluang untuk kita memulihkan dan mengembalikan negara ini di landasan yang betul.

"Peluang untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih baik, lebih adil dan lebih saksama untuk semua rakyatnya," kata beliau.

Beliau berkata tahun 2017 memperlihatkan segala kepincangan dan kebobrokan pemerintah memuncak.

"Kepincangan dan kebobrokan pemerintah baik dari sudut urus tadbir, ekonomi, perundangan mahupun demokrasi berparlimen," kata perutusan itu lagi.

Manakala itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perutusan tahun barunya berkata usaha penyatuan yang kukuh sangat penting bagi mencapai kemenangan rakyat.

"Marilah kita membingkai satu muafakat yang utuh dan progresif untuk merealisasikan 2018 sebagai tahun kemenangan rakyat.

Moga tahun 2018 akan membawa sinar harapan buat negara dan rakyat semuanya," kata Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Azmin juga berharap pada tahun baru ini negara dapat dikemudi dengan bijaksana, bertanggung jawab, telus dan demokratik.

"Kekayaan negara harus diurus dengan telus dan bertanggungjawab, masalah dan keluhan rakyat harus disantuni dengan pembelaan yang adil dan saksama," kata beliau lagi.

PRU14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen berakhir pada 26 Jun 2018 ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah dilaporkan Malaysiakini memberi bayangan PRU14 akan diadakan selepas Tahun Baru Cina.

 

Lihat Komen