malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bursa Malaysia: 2017 saksi 14 tawaran awal permulaan
Diterbitkan:  Dec 30, 2017 8:47 AM
Dikemaskini: 12:53 AM
ADS

SOROTAN Bursa Malaysia mencatatkan prestasi agak kukuh semasa melabuhkan tirai 2017 dengan aspek positif seperti harga minyak mentah yang stabil, ringgit mengukuh, data ekonomi positif serta aliran masuk dana asing meningkat, yang memberi sokongan kepada indeks utama.

FBM KLCI mengakhiri tahun pada paras tertinggi 1,796.81 pada 29 Dis, naik 155.08 mata atau 9.45 peratus daripada 1,641.73 yang dicatatkan pada akhir 2016.

Tahun ini menyaksikan 14 tawaran awal permulaan berbanding 12 pada tahun sebelumnya.

Platform terbaru, Leading Entrepreneur Accelerator Platform atau Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dilancarkan pada 26 Julai bagi memboleh perusahaan kecil dan sederhana memlilih platform mendapatkan dana dan dilihat di pasaran modal.

Setakat 31 Dis, dua syarikat disenaraikan di platform dagangan itu.

Mengikuti pergerakan indeks utama di peringkat global, barometer pasaran dipengaruhi oleh tiga kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik antara AS dan Korea Utara, ketidaktentuan yang menyelubungi rancangan pembaharuan cukai Presiden AS Donald Trump serta prestasi Wall Street.

Di dalam negara pula, spekulasi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lebih awal memberi sedikit sebanyak impak terhadap pergerakan barometer pasaran.

Sepanjang 2017, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan antara 1,616.54 dan 1,796.81 berbanding 1,600 hingga 1,727.99 pada 2016.

Walaupun dagangan hari pertama 2017 pada 2 Jan dengan catatan terendah bagi tahun ini, pada 1,616.54, petunjuk utama kemudiannya mencatatkan prestasi yang baik, dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah dan ringgit yang kukuh.

Pada 2 Jan, penanda aras minyak mentah Brent naik kepada lebih US$55 setong setelah langkah pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berkuat kuasa pada 1 Jan, serta pengukuhan ringgit yang disebut harga pada RM4.4873 berbanding dolar AS.

Barometer pasaran meneruskan aliran menaiknya, mencecah paras tertinggi harian pada 1,796.75 pada 16 Jun, selepas Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah buat kali kedua bagi tahun berkenaan pada 14 Jun.

Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali pada 2017, naik daripada 0.75-1.00 peratus pada 15 Mac, 1.00-1.25 peratus pada 14 Jun, dan 1.25-1.50 peratus pada 13 Dis, dan semua kenaikan ini memberi kesan limpahan positif kepada bursa tempatan.

Menurut MIDF Research, pelabur asing mengukuhkan kedudukan di Bursa Malaysia pada separuh pertama 2017 yang menyaksikan belian asing terkumpul di bursa tempatan melonjak dengan ketara kepada RM10.2 bilion pada tempoh yang sama, mencatatkan angka tertinggi dalam kalangan bursa Asia Tenggara.

Bagaimanapun, bursa tempatan mula menyusut ke paras 1,759.93 pada 7 Julai selepas mencecah paras tertinggi pada 16 Jun terutamanya dipengaruhi oleh kegiatan pengambilan untung dan harga minyak mentah yang rendah dengan Brent turun antara US$45.61 dan US$46.47 setong semasa tempoh tersebut.

Indeks utama pulih dan ditutup pada 1,761.99 pada 24 Julai apabila minyak mentah Brent naik kepada US$48.18 setong, mendahului perbincangan antara anggota OPEC dan bukan OPEC bagi lanjutan pengurangan pengeluaran minyak.

Data ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan seperti pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebanyak 5.6 peratus dan 5.8 peratus, masing-masing pada suku pertama dan kedua, terus melonjakkkan bursa tempatan sehingga mencecah paras penutup kedua tertinggi pada tahun ini pada 1,782.74 pada 11 Sept.

Namun, pasaran ekuiti dunia termasuk Bursa Malaysia terjejas dengan isu ketegangan geopolitik antara AS dan Korea Utara berikutan langkahnya melancarkan peluru berpandu pada September dan November.

Isu AS-Korea Utara yang semakin meningkat itu telah mengheret Bursa Malaysia ditutup pada 1,765.59 pada 26 Sept dan terus turun kepada 1,717.23 pada 24 Nov.

Bank Negara Malaysia, dalam Buletin Suku Ketiganya berkata FBM KLCI susut 0.5 peratus kepada 1,755.6 mata semasa akhir September, disebabkan terutamanya oleh aktiviti penjualan bersih oleh pelabur asing.

"Ia susulan sentimen pelabur yang berhati-hati yang didorong oleh faktor-faktor luaran temasuk peningkatan kebimbangan isu geopolitk serta ketidaktentuan yang menyelubungi perkembangan politik dan dasar monetari AS," katanya.

Bagaimanapun, penurunan berkenaan disekat oleh sentimen positif daripada Bajet 2018 yang dibentangkan pada 27 Okt yang menyaksikan KLCI pulih, ditutup pada 1,746.13.

Pada November, dua tamparan kepada pasaran, rancangan pembaharuan cukai Presiden AS Donald Trump dan pelancaran peluru berpandu kedua oleh Korea Utara -- telah menjejaskan KLCI, menyebabkannya menyusut di bawah paras sokongan 1,740 dan didagangkan antara 1,737.9 dan 1,719.47 dari 13 Nov hingga 11 Dis.

Namun, sentimen meningkat di Wall Street dengan Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang diunjur mencecah 25,000 menjelang akhir tahun mendorong bursa tempatan berakhir pada 1,729.57 pada 12 Dis.

Aliran menaik itu berterusan dan menyaksikan indeks utama melepasi paras 1,750 dan berakhir pada 1,759 pada 14 Dis dan ditutup pada 1,760 pada 22 Dis disebabkan oleh kegiatan memperelok akaun pada akhir tahun serta harga minyak Brent yang naik dan didagangkan pada US$64.90 setong.

Bursa Malaysia menutup tirai dagangan terakhirnya bagi 2017 pada 29 Dis dengan peningkatan agak ketara apabila KLCI mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun pada 1,796.81 mata disokong oleh belian dana tempatan dan asing semasa pasaran hampir ditutup, dengan pengukuhan ringgit yang melonjak ke paras tertinggi tahun ini kepada 4.045 berbanding dolar AS pada pukul 5 petang.

Menurut laman web Bursa Malaysia, pada November 2017, institusi asing menyumbang 7.91 peratus daripada jumlah dagangan saham yang diniagakan semasa bulan berkenaan berbanding 12.12 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas manakala institusi tempatan menguasai 24.88 peratus, naik daripada 22.01 peratus pada November tahun lepas.

MIDF Research dalam nota penyelidikan mingguannya berkata setakat 18 Dis, minggu keempat aliran masuk menjadikan pembelian asing setakat ini tahun ini melebihi RM10 bilion pada RM10.2 bilion, paras yang dilihat kali terakhir pada minggu ketiga September tahun ini.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Vincent Lau berkata saham teknologi, sarung tangan serta yang bermodal kecil dan sederhana merupakan indeks dengan prestasi terbaik di Bursa Malaysia pada 2017, manakala yang kurang menyerlah pula ialah saham minyak dan gas, hartanah serta yang berkaitan telekomunikasi.

"Mengenai masa depan di mana PRU14 perlu diadakan pada 2018, kami menjangka pasaran ekuiti tempatan akan mengalami kenaikan pasca PRU14 dan KLCI akan mencecah 1,910 tahun depan disokong oleh pendapatan korporat yang bertambah baik yang berkemungkinan naik 6.6 peratus.

"Kami mencadangkan kepada para pelabur supaya melihat syarikat-syarikat bermodal kecil seperti HSS Engineers Bhd, KUB Malaysia Bhd, Ahmad Zaki Resources Bhd, Straits Inter Logistic Bhd, Kelington Group Bhd dan Perak Transit Bhd," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen