malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Arahan minta SPRM kesan saksi siasatan SRC
Diterbitkan:  Dec 29, 2017 8:44 PM
Dikemaskini: 12:47 PM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diarahkan mengesan beberapa orang saksi berkaitan siasatan kes SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB itu.

Hal ini berdasarkan jawapan parlimen Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low bertarikh 30 November lalu.

"Sebagaimana yang diarahkan timbalan pendakwaraya, pegawai penyiasat telah bertindak bagi merekod kenyataan lanjut daripada dua orang saksi dan mengesan beberapa saksi lain berkaitan dengan siasatan SRC International," kata beliau.

"Terdapat saksi yang masih belum dapat dikesan," katanya memberitahu Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanya status siasatan SRC.

Siasatan terhadap SRC muncul pada 2015 selepas Wall Street Journal melaporkan RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada 31 Disember 2015, SPRM menghantar dua kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara mengenai RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib dan SRC.

SPRM dilaporkan merekodkan kenyataan daripada lebih 100 orang saksi siasatan kes SRC.


Pada Januari 2016, peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata tiada pendakwaan terhadap Najib berdasarkan siasatan SPRM berkenaan sumbangan derma politik sebanyak RM2.6 bilion itu dan dana SRC sebanyak RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib.

Bagaimanapun pada 11 April lalu, Apandi dilaporkan berkata telah mengarahkan SPRM untuk melengkapkan siasatan 'sejak beberapa lama dahulu' dan menjangkakan siasatan itu akan disiapkan dalam tempoh sebulan dua.

Dana SRC didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib dalam dua transaksi - pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 - selepas dialirkan melalui dua syarikat iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Najib dilaporkan mendakwa tidak sedar duit itu datangnya dari SRC dan Apandi telah membersihkan beliau daripada sebarang salah laku mengenai perkara itu.

Lihat Komen