Kebanyakan orang mempunyai calon kegemaran mereka sendiri yang dirasakan paling layak untuk menyandang jawatan perdana menteri.
Begitu juga bagi bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sebelum ini pernah menggemparkan negara berikutan pendedahan bahawa dirinya diliwat bekas majikannya itu.
Bagi Saiful, individu paling layak menggalas tanggungjawab itu mestilah datang daripada golongan muda. Malah beliau tidak teragak-agak untuk menamakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai calon yang sesuai.
Saiful berkata trend pilihan raya di negara-negara besar seperti Perancis, Kanada dan New Zealand sejak tahun 2015 menyaksikan rakyatnya memilih golongan muda sebagai pemimpin negara.
"Rata-rata rakyat mereka sudah bosan dan memilih seorang pemimpin negara yang mempunyai idealisme, muda dan bertenaga sebagai pemimpin mereka. Mereka mahukan satu hala tuju yang baru, idea-idea yang segar.
"Adakah Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk itu? Atau masih belum mempercayai kemampuan pemimpin muda menerajui Negara?
"Pada hemat saya, jika Malaysia sudah bersedia ke arah itu, calon paling layak sebagai PM Malaysia yang baru untuk PRU14 ini adalah Khairy Jamaluddin," tulisnya di Facebook.
Diandaikan sekiranya BN menang lagi pilihan raya umum pada 2018, Datuk Seri Najib Razak dijangka kekal memegang jawatan perdana menteri pada usia 65 tahun.
Di pihak pembangkang pula, Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Tun Mahathir Mohamad yang usianya telah mencecah 92 tahun sebagai perdana menteri sementara.
Keadaan ini berbeza dengan trend di kebanyakan negara maju lain.
Misalnya dalam pilihan raya Perancis, Emanuel Macron menjadi presiden termuda dalam sejarah pada usianya 39 tahun. Begitu juga di Kanada apabila Justin Trudeau menjadi perdana menteri pada usia 46 tahun.
Pi mai tang tu
Menyatakan pendapat mengenai calon PM adalah pandangan peribadi, Saiful berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti politik sebagai ahli dan tidak mempunyai kaitan atau pernah bertemu Khairy.
Katanya beliau hanya meluahkan pandangan sebagai seorang rakyat Malaysia yang 'mahukan kesegaran politik'.
"Baik pembangkang dan kerajaan, rata-rata barisan pemimpin parti politik sudah di atas retirement age (umur persaraan).
"Pi mai pi mai tang tu juga. Masa untuk mereka berehat. Sudah tiba masanya kedua-dua belah pihak membarisi calon PM muda untuk PRU14.
"Barulah seronok, hangat perlawanannya, seterusnya memberi harapan baru buat rakyat Malaysia," kata Saiful.
Saiful adalah individu yang membuat laporan polis dan mendakwa diliwat Anwar yang ketika itu majikannya pada Jun 2008.
Anwar menjalani hukuman penjara atas kesalahan itu namun menegaskan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.