malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR setuju Dr Mahathir jadi PM sementara dengan syarat...
ADS

PKR secara prinsip bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar pemimpin PKR enggan mengulas kerana difahamkan terdapat arahan "menutup mulut" berhubung isu berkenaan.

"Kami setuju menamakan Dr Mahathir dan Wan Azizah tetapi dengan beberapa syarat semasa mesyuarat biro politik.

"Antara syaratnya adalah membebaskan segera Datuk Seri Anwar dan kemudian melantiknya sebagai perdana menteri baru dalam masa enam hingga 12 bulan (selepas kita mengambil-alih kuasa).

"Kami juga mahu (Dr Mahathir) berjanji bahawa beliau hanya akan menjadi perdana menteri sementara sehingga Anwar mengambil alih," kata sumber itu kepada Malaysiakini tanpa mahu namanya didedahkan.

Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah ditugaskan untuk bersemuka dengan beberapa tokoh dari tiga parti lain, termasuk Dr Mahathir, mengenai perkara itu.

"Beliau diamanahkan untuk berjumpa dengan tokoh tertentu agar mereka bersetuju dengan cadangan (syarat) ini," katanya.

Menurutnya, PKR akan mengumumkan keputusan berkenaan selepas semua pemimpin bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa Saifuddin dijadual melawat pemimpin veteran DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat, satu pertuduhan yang menurutnya bermotivasikan politik.

Bekas pemimpin pembangkang itu dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun depan, tetapi akan berdepan dengan larangan lima tahun daripada menyertai politik selepas itu.

Cadangan gabungan Dr Mahathir - Dr Wan Azizah pertama kali ditimbulkan pada pemukiman Pakatan Harapan pada awal bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen