malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Seorang lagi wakil BN bantah persempadanan SPR
ADS

Seorang lagi wakil BN menyuarakan bantahannya di siasatan awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk cadangan persempadanan semula di Selangor, selepas dua pemimpin Umno berbuat demikian pada sesi semalam.

Pemimpin peringkat cawangan MCA Bahagian Subang, BL Yong hari ini membantah cadangan SPR untuk mewujudkan dua kawasan Parlimen baru - P106 Damansara dan P107 Sungai Buloh - daripada kawasan sedia ada, iaitu Subang dan Petaling Jaya Utara.

Beliau berkata, cadangan itu akan mewujudkan perbezaan pengundi yang besar antara dua kawasan Parlimen yang dicadangkan itu.

"Asas utama bantahan kami adalah ketidakseimbangan antara dua kawasan parlimen.

"Pertama, kawasan Petaling Jaya Utara yang akan dinamakan semula sebagai 'Damansara' akan memiliki kira-kira 150,000 pengundi.

"Manakala untuk Subang, yang mahu ditukarkan kepada Sungai Buloh, hanya memiliki kira-kira 70,000 pengundi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di siasatan awam SPR, Shah Alam, hari ini.

Yong berkata, ia menjadikan nisbah untuk dua kawasan itu kepada 2.05 kepada 1, yang menurutnya lebih tinggi berbanding syor dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Maka bagi kami, nisbah 2.05 kepada 1 itu besar. Kami menggeas SPR untuk melakukan sesuatu berkenaan hal ini, memastikan jumlah pengundi bagi dua kawasan parlimen ini lebih kurang sama, atau tidak terlalu berbeza," katanya.

Beliau memaklumkan turut meminta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan tidak dipindahkan ke kawasan Parlimen Damansara, sebaliknya kekal dalam kawasan Parlimen Subang.

Pada masa ini, terdapat tiga kerusi DUN dalam Parlimen Subang - Bukit Lanjan, Kota Damansara dan Paya Jaras. Dalam cadangan persempadanan semula SPR, Kota Damansara dan Paya Jaras akan dipindahkan ke kawasan Parlimen baru, Sungai Buloh.

"Cadangan kami adalah meletakkan semula Bukit Lanjan dalam P107.

"Dengan itu jurangnya tidak terlalu luas dan jumlah pengundi untuk dua kawasan Parlimen itu akan lebih kurang sama, selaras dengan prinsip Perlembagaan," katanya.

Yong merupakan antara 13 pengundi dari Subang, Gombak dan Tanjung Karang yang akan menyuarakan bantahan mereka pada sesi siasatan awam hari ini.

Persempadanan semula SPR di Selangor dicemari dakwaan gerimander dan pembahagian pengundi tidak saksama (malapportionment), dengan pengundi telah membuat bantahan rasmi.

Menurut Bahagian II dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan siasatan awam untuk menilai bantahan tersebut.

Jika SPR mendapati perlu meminda cadangannya, suruhanjaya itu perlu membentangkan cadangan baru dan memperuntukkan 30 hari untuk bantahan baru, dan kemudian mengadakan siasatan awam kedua bagi menilai bantahan tersebut.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen